Rabu, 27 Mei 2009

Mengimbau Kembali 3

Selepas berhenti sekolah dan berhijrah ke Simpang Renggam, tinggal bersama ibu bapa dan adik-beradik buat seketika sangat menyeronokkan. Pada mulanya tidak banyak kerja yang perlu dilakukan. Kebanyakan masa dipenuhi dengan bersembang dengan ibu-bapa dan ahli keluarga yang lain. Selepas tiba ke rumah keluarga, didapati persekitaran tempat kediaman kami sangat berbeza sama sekali dengan persekitaran kampung kelahiran dan kampung tempat dimana saya menumpang teduh di rumah kakak dahulu. Di Simpang Renggam, keluarga menetap di Rancangan Pinggir, Batu 42, Jalan Johor Bahru, Air Hitam. Kawasan Rancangan Pinggir ini bentuk muka-bu inya berbukit-bukit. Ada kawasan yang curam dan berbatu-batu dan ada kawasan puncak bukit dan agak rata bentuk muka buminya. Di Rancangan Tanah Pinggir ini ayah dapat tanah dari kerajaan seluas kira-kira 8 ekar. Tanah arwah ayah merupakan kawasan yang paling tinggi dari keseluruhan tanah di kawasan ini.

Pada mula diteroka tanah kawasan ini gondol sahaja. Ini kerana sebelum diberikan kepada para peneroka pihak kerajaan telah membersihkannya terlebih dahulu dengan cara menebang hutan membakar untuk dibersihkan dan dibajak dengan traktor bagi mana-mana kawasan tanah yang rata. Memandangkan arwah ayah dapat tanah bukit yang tinggi dan curam, membajak dengan traktor tidak dapat dilakukan dan diganti dengan membuat teres dengan mengunakan Boldoser. Meneres adalah sangat diperlukan bagi ketahanan curam untuk projek tanaman pokok getah.

Semua keluarga saya yang belum berumah tangga telah berpindah ke kawasan ini enam bulan lebih awal dari saya. Mereka semua telah melakukan kerja-kerja mengali lubang dan menanam benih pokok getah. Tanaman getah yang diusahakan tumbuhnya tidak berapa subur kerana keadaan tanah yang berbatu-batu dan tidak mampu membubuh baja. Namun demikian rumput-rampai tumbuh dengan subur. Rumput tumbuh subur kerana tanah bukit yang diteres itu apabila kena hujan akan menghanyutkan tanah-tanah halus. Tanah-tanah halus berbaja yang dihanyutkan air tersangkut pada teres tanaman getah. Oleh itu didapati rumput rampai dapat tumbuh dengan subur menakala anak getah tumbuh merikit kerana baja yang ada dimakan oleh rumput.
Tinggal bersama keluarga pada waktu itu ialah ayah dan ibu beserta dua abang yang umurnya sekitar 19 tahun dan 16 tahun. Manakala ada dua orang adik yang berumur 12 tahun dan 10 tahun, arwah ayah waktu itu berumur 55 tahun dan ibu berumur 50 tahun. Pada usia sebegitu, ayah dan ibu kelihatan cukup tua. Ayah sering di serang penyakit semput, nasib baik arwah ibu pandai mengurut, jadi jika ayah kena semput ibu cepat-cepat cari halia yang ditanam disebelah rumah dan dicampur dengan minyak masak atau di ambilnya minyak tanah di urutlah dibelakang atau didada ayah agar hangat, supaya dapat memudahkan ayah bernafas.

Oleh kerana kawasan tanaman pokok getah sempat ditumbuhi rumput, saya dan adik bongsu bersama-sama ibu setiap hari akan merumput, menajak di teres getah. Ibu beritahu kalau kita dapat 10 pokok baru boleh balik. Kerja menajak rumput sepanjang 10 gang pokok getah bukan kerja mudah. Ini kerana kawasan yang dibersihkan ialah tanah yang berbatu-batu dan alatan yang ada hanyalah sebilah tajak yang dipakai oleh ibu dan saya dua beradik mencabut rumput dengan tangan. Biasanya kami memulakan tugasan merumput jam tujuh dan akan siap untuk dapat 10 gang pokok getah kira-kira jam 11.30 pagi. Oleh kerana kawasan yang dikerjakan lapang, tidak ada pokok besar yang melindungi atau dengan kata lain laksana padang, maka cuaca pagi begitu rupa sudah cukup untuk merasai panas terik. Muka kami semua menjadi hitam dan lebam sehingga apabila ada saudara dari kampung yang datang menziarah keluarga kami mereka berkata kesihannya, kurusnya, susahnya awak dan sebagainya. Tetapi saya percaya arwah ibu cukup tabah dalam menghadapi itu semua. Sikap inilah agaknya sedikit sebanyak meresap dan menyerap dalam diri saya.

Walaupun arwah ayah seorang yang pandai bertukang, boleh mendirikan dan membuat rumah sendiri, tapi rumah kami di Simpang Renggam ini hanyalah pondok berbentuk pisang sikat. Lebarnya hanya 14 kaki dan panjangnya 20 kaki. Pondoknya beratap zink, tiangnya berkayu bulat dan dindingnya diperbuat dari kulit kayu yang diambil dari hutan yang jaraknya tiga batu dari rumah. Lantai pondok adalah tanah yang diratakan dan hanya di buat pangkin dari kayu bulat yang diambil dari hutan. Di atas pangkin inilah kami semua duduk bersembang, makan dan tidur. Di pondok seluas itulah kami berteduh dari hujan dan panas, makan, ibu memasak, tidur dan berehat. Pada siang hari udara dan bahangnya sangat panas dan di waktu malam dindingnya mengigit tulang.Tidak ada selimut dan yang ada hanya kain sehelai untuk pakaian di rumah dan digunakan untuk sembahyang. Pakaian kami yang ada hanyalah sehelai baju dan seluar berwarna kelabu buatan dan dibawa masuk dari negeri China untuk kegunaan kerja. Jika sudah kotor dibasuh di kolam yang terletak dalam gaung di hujung tanah ayah. Sementara menunggu pakaian tersebut kering, kami pakai kain sarung. Memandangkan badan kami semua kurus-kurus belaka dan tiada perut, kerap kali kain sarung yang kami pakai melungsur kebawah dan hendak terlucut, lalu kami gulung dan gulung kadang kala kain tersebut digulung sehingga terlepas keatas.

Tidak lama selepas ayah menetap di Pinggir, dua abang saya mendapat kerja sebagai buruh di ladang Nam Bee, Batu 40, Jalan Air Hitam, Johor Bahru. Ramai pekerja di ladang ini terdiri dari orang Melayu. Mereka bekerja sebagai buruh, menanam getah dan sagu rumbia. Pemilik, pengurus dan kerani ladang terdiri dari orang-orang cina yang datang Bandar Hilir Melaka. Antara nama yang saya masih ingat ialah Ah Guan (anak saudara Nam Bee) sebagai pengurus kewangan, Peng Yam sebagai pengurus ladang manakala Ah Tick, Ah Kaw, Ah Kiaw, Kaw Sai, Ah Lik sebagai kerani dan pemandu lori. Manakala En. Hussin, Arshad dan Md. Noh Bakri sebagai mandor dan orang Melayu lain yang bilangannya seramai 60-70 orang bekerja sebagai buruh. Bagi buruh dewasa mereka dibayar upah RM 3.00 sehari dan bagi buruh kanak-kanak seperti saya yang berumur dalam lingkingan 12 hingga 17 tahun di bayar RM 1.50 sehari.

Peraturan kerja di ladang ini ialah para pekerja yang mahu bekerja mesti sampai ke pejabat ladang sebelum jam 6.00 pagi, bertolak dari pejabat ladang ke kawasan kerja jam 6.15 pagi dan balik dari ladang jam 2.30 petang. Kerana kawasan ladang tersebut luas, biasanya para pekerja hanya akan sampai semula ke pejabat ladang pada jam 3.30 petang. Setelah sampai ke pejabat ladang dan setelah disahkan kehadiran pekerja penuh, barulah pekerja boleh balik.

Sebahagian besar pekerja tinggal disekitar pekan Simpang Renggam yang jauhnya kira-kira 14 KM dari ladang. Mereka datang dari Kawasan Kampung Sahri, Parit Haji Hashim, Kampong Chokro, Parit Mohamad Amin, Machap dan Kampung Melayu. Pekerja yang tinggal di Kampung Melayu dirasakan lebih hebat dan disegani kerana kampung tersebut terletak dipinggir pekan Simpang Renggam. Ada setengah mereka dari anak-anak pekerja JKR, pemandu bas, jaga panggung wayang, pekerja kilang kayu dan lain-lain. Kerana mereka tinggal ditempat yang demikian, rakan-rakan yang kekurangan barang seperti kehabisan rokok, daun rokok atau tembakau, garam, mancis dan sebagainya akan dikirim untuk mereka belikan dan bawa pada hari bekerja keesokkan harinya.

Apa yang menyeronokan ada dua orang sahabat bernama Kartolo dan Mahad. Mahad adalah anak tiri kepada mandor Arshad, kedatangannya senantiasa ditunggu-tunggu oleh rakan-rakan lain. Pada waktu rehat jam 10.30 pagi, kami berkumpul sambil makan bekal yang dibawa dari rumah, mereka berdua akan bercerita dan mengulas cerita wayang gambar yang ditontonnya malam sebelumnya. Panggungnya dibuat dari papan, tidak berbumbung dan dipenuhi dengan pijat. Saban hari ada sahaja cerita wayang gambar yang mereka ceritakan. Keadaan ini boleh berlaku adalah disebabkan kedua mereka bekerja sebagai pemungut tiket di panggung tersebut. Justeru itu nama-nama seperti John Wine, P. Ramlee, Rahmah Rahmat, Jins Shamsuddin, Aziz Jaffar senantiasa meniti dibibirnya.

Setahu saya para pekerja yang berkerja di ladang Nam Bee kebanyakkan pergi dan balik, mereka menunggang basikal. Hanya terdapat dua orang sahaja yang menunggang motorsikal, iaitu mandor Arshad dan mandor Hussain. Selebihnya berbasikal berboncengan. Bagi keluarga saya hanya memiliki sebiji basikal sahaja. Jadi kami tunggang basikal bertiga dan yang lain berlari-lari anak mengejar dari belakang. Aktiviti sebegini di lakukan saban hari ketika pagi dan balik kerja.

Pada suatu malam, sebaik sahaja selepas makan malam bersama-sama ayah, ibu dan adik-beradik yang lain, (sebelum saya dan ayah bekerja di ladang Nam Bee), ayah telah memberitahu kepada semua, bahawa esok ayah akan ajak saya ke hutan untuk ambil kayu untuk buat dan besarkan rumah. Dengar cakap ayah abang Yusof suka, kerana selama ini dia anggap saya jadi anak kesayangan, manja dan tidak buat sebarang kerja. Lihat abang tergelak saya amat faham isi hati dan maksudnya sebab itu saya amat gembira apabila ayah memgajak saya untuk mencari tiang kayu di hutan. Sebenarnya saya pun setuju dengan ketawa sinis yang terkeluar dari bibir abang. Ini kerana bagi setengah orang selalunya sesuatu aktiviti itu hanya dianggap kerja apabila boleh mendatangkan duit. Sebab saya bekerja merumput yang tidak mendapat pendapatan duit lalu dianggap oleh abang sebagai tidak bekerja. Sepatutnya tangapan masyarakat jangan sampai begitu, bekerja untuk duit adalah satu perkara dan kerja untuk menolong satu perkara lain yang juga ada nilainya.

Keesokan hari, pagi-pagi lagi saya dan ayah keluar rumah berjalan kaki menuju hutan yang jauhnya kira-kira 4-5 batu dari rumah. Kami berdua masuk kedalam hutan untuk mencari kayu yang lurus, panjang dan ukuran lilit bulatan antara 20 hingga 25 inci. Ayah tebang 6 batang pokok dan setiap batang di kemudian potong tiga. Tiap-tiap batang yang dipotong panjangnya 10 kaki. Saya disuruh memukul-mukul kulit kayu yang sudah dipotong, kemudian dikupas untuk dijadikan dinding (bukan dinding kaca). Saya lakukan dengan tekun. Setelah ayah mendapat 20 batang tiang dan setelah selesai dikupas kulitnya ayah menunjukkan kepada saya mengulung dan mengikat kulit kayu dengan rotan Saga, agar mudah dipikul. Ayah mula mengangkat dan memikul tiang, menakala saya mula mengangkat dan memikul kulit kayu untuk dijadikan dinding.

Diawal perjalanan sambil memikul dinding kulit kayu dirasakan tidak beberapa berat, tetapi semakin lama dinding kulit kayu yang dipikul terasa semakin berat. Apabila saya rasa tidak tertahan beratnya saya campakkan dinding kulit kayu tersebut ketanah dan sambil merebahkan diri berbaring di tanah. Setelah hilang penat saya sambung semula memikulnya, begitulah seterusnya berulang-ulang kali sehingga habis sampai ke rumah. Ayah yang memikul tiang kayu bulat dan masih basah tentu bebannya lebih berat, mungkin kerana hendak memberi semangat dan contoh bekerja kepada saya, saya nampak ayah rileks sahaja memikul tiang tanpa henti dan jauh meninggalkan saya dibelakang. Setelah sampai separuh jalan yang jaraknya kira 2 batu lagi dari rumah, saya nampak ayah datang menyongsong. Semakin lama semakin dekat. Apabila sampai dihadapan saya ayah berjalan melintasi saya dan terus berjalan menuju kehutan semula. Dalam fikiran, saya duga ayah akan memikul sebatang tiang lagi, tekaan itu sememangnya benar. Memahami hakikat ayah akan mengangkat tiang bulat lagi, ini menguatkan semangat saya untuk terus memikul dinding kulit kayu sehingga sampai ke rumah. Sebelum sampai kerumah, ayah dengan memikul tiang berjalan pantas memotong saya. Setelah diletakkan tiang kayu tersebut, ayah menyongsong dan mengambil barangan pikulan saya untuk sambung dibawa balik ke rumah. Saya sangat pelik, ayah yang sudah agak tua, tetapi masih lagi mampu memikul dua kali ulang tiang kayu bulat yang baru ditebangnya. Dan esoknya dengan riang ayah mengajak saya mengangkat lagi sehingga habis diangkut kesemuanya.

Memikul dinding kulit kayu yang kasar dan mengerutu untuk hari pertama tidak seberapa menyeksa. Tetapi memikul dinding kulit kayu yang sebegitu rupa untuk hari kedua dan hari-hari berikutnya sangatlah menyeksakan. Kulit bahu, kulit lengan dan leher semuanya talah melecet, apabila mandi dan terkena air amatlah pedih. Apatah lagi apabila disimbah dengan peluh yang bergaram, hanya Allah yang tahu sakitnya. Untuk mengelakkannya, saya cari dan bawa kertas untuk dijadikan alas memikul, akhirnya bersama bantuan ayah habis juga tiang dan dinding kulit kayu diangkat. Ayah dan saya bekerja menggangkat tiang dan kulit kayu itu selama seminggu genap. Setelah selesai saya lihat wajah ayah gembira dan tersenyum puas.

Seingat saya malam jumaat, sewaktu ahli keluarga sedang berkumpul, ayah beritahu, esok kita ratakan tanah untuk buat tapak rumah. Arwah ibu bertanya agak dimana tempatnya. Jawab ayah, di atas bukit di kawasan yang agak rata. Ibu dan kami semua diam tanda setuju. Ayah sambung lagi, kita buat dapurnya menyebelah gaung tengah dan pintu hala kejalan. Saya mencelah percakapan ayah, diatas kan semakin jauh dari perigi? Pertanyaan ini diajukan kerana sayalah yang sering disuruh olek ibu untuk ditugaskan mengangkut air dari perigi dibawah gaung ke rumah. Kerja mengangkut air dari perigi dengan baldi, kemudiannya mengangkat melalui tebing bukit yang curam sangat meletihkan. Kerja tersebut dilakukan setiap hari dan tidak nampak kesudahannya. Ia mesti dilakukan setiap hari kerana untuk kegunaan memasak, makan minum dan membasuh. Jawab ayah, diatas sana anginnya kuat dan esok tentunya akan sampai air paip.

Ayah meneruskan bicaranya, kita buat rumah ini bukan hanya tempat berteduh anak bini, tetapi untuk berhimpun anak cucu dan saudara mara terutama waktu kenduri kendara dan hari raya. Mengingatkan hari raya waktu itu akan sampai kira-kira lagi dua bulan setengah, kami sekeluarga bertekad untuk menyiapkannya sebelum menjelang hari raya.

Kerja membuat tapak rumah memakan masa tiga hari, lepas itu ayah mengajak saya lagi untuk mengambil daun sagu rumbia dipaya berhampiran hutan. Ayah potong daun rumbia dan saya tolong pungut dan kumpulkan. Kemudian ayah ikat menjadi empat ikatan, dua besar dan dua kecil. Saya faham sangat tujuan ayah berbuat demikian. Habis sahaja diikat saya ambil ikatan yang kecil lalu memikulnya menuju kerumah. Dirumah ibu sudah berkira-kira untuk memulakan kerja menganyam atap. Dikampung dahulu saya tahu ibu bukan sahaja pandai menganyam atap tetapi ibu juga mahir menganyam tikar mengkuang dan bakul.

Projek membuat rumah di lakukan ayah dan saya serta dibantu oleh abang-abang sewaktu mereka tidak bekerja atau sewaktu petang balik dari bekerja. Kerja menyiapkannya selesai dalam masa satu bulan setengah. Kerja membina ini berjalan agak lambat dan sering tergendala kerana tidak cukup paku.

Saya amat kagum dengan kekuatan dan ketekunan kerja yang ayah dan ibu lakukan. Mereka akan tekun melakukannya selagi belum dihabiskan. Selain itu ayah pandai menjangka dan jangkaan inilah yang menyebabkan beliau melakukan dan membuat tindakan dengan betul. Banyak perkara yang diputuskan saya lihat memiliki ciri-ciri tuntutan masa depan. Memandangkan persekitaran yang ada pada waktu itu begitu rupa jadilah beliau petani, tetapi petani yang ada meninggalkah harta untuk kesemua anak-anaknya. Ayah telah meninggalkan kami semua pada bulan Mac 1983 pada usia 77 tahun. Pada waktu saya berada di Kemaman, Terengganu mengikuti projek bancian tanah dan harta oleh Pusat Penyelidikan UKM. Bancian dilakukan kerana kawasan tanah di perkampungan Teluk Mengkuang akan dimajukan untuk Industri Besi dan projek Petrokimia. Sewaktu berita kewafatan ayah, saya sedang berada di laut Paka, juga di Terengganu kerana melakukan kereja penyelidikan tentang kemiskinan nelayan. Kajian kemiskinan nelayan ini dilakukan bagi melengkapkan kajian yang terdahulu yang dilakukan oleh Dr. Sanusi Osman.

Berita kemangkatan ayah saya hanya dapat tahu dari mulut Dr. Sanusi sebelah petang setelah saya sampai ke jeti Paka, balik dari mengikut nelayan menangkap ikan di laut. Mendengar berita tersebut hati terasa sedih dan pilu, tetapi saya diam sahaja. Pada waktu itu saya tidak boleh berbuat apa, hari sudah malam, tidak memiliki duit, apatah lagi wang untuk tambang balik ke Johor. Apa yang terdaya hanyalah membaca al-fatihah untuk disedekahkan kepada roh ayah. Dr. Sanusi Osman menyuruh saya balik ke bilik hotel Sangbuana berkemas untuk balik. Rupanya beliau telah berusaha mendapatkan sebuat teksi dan kemudiannya memberi sejumlah wang untuk tambang saya balik menziarah arwah ayah di Johor.

Dalam perjalanan balik ke Johor saya singgah mengambil isteri dan empat orang anak saya untuk turut dibawa balik ke Johor. Walaupun dalam kesedihan, dapat balik ke Johor bersama keluarga dengan menaiki teksi adalah pengalaman pertama yang sangat membanggakan.

Sampai ke Johor telah terlewat dua hari, jadi saya bawa isteri dan anak-anak untuk ziarah ke pusara ayah. Saya berterima kasih khusus kepada Dr. Sanusi yang membiayai kesemua tambang dan kepada pemandu teksi yang membawa saya dari Kemaman sampai ke Simpang Renggam. Wassalam.

1 ulasan:

  1. Mac 1983, maknanya Sina belum lahir lagi. Hmm teringat-ingat permainan askar-askar kecil yg arwah yai bagi.

    BalasPadam