Ahad, 31 Mei 2009

Mengibau kebelakang 4: PERBEZAAN KELAS DAN MERITOKRASI PALSU

Setelah selesai mendirikan rumah tiang bulat berdinding kulit kayu masih bekerja dengan bersama ayah, saya diajak abang untuk turut sama berkerja bersamanya di ladang Nam Bee. Saya diperkenalkan oleh abang dengan pengurus ladang yang bernama Peng Yam. Dengan tanpa banyak cakap pengurus ladang tersebut menerima saya bekerja. Saya diletakkan dalam kelompok pekerja Minyak Lalang bersama-sama dengan buruh kanak-kanak yang sebaya dengan saya. Malah turut berada dalam kelompok pekerja minyak lalang tersebut ialah adik saya sendiri yang bernama Othman (13 tahun),anak saudara saya Sebut (13 tahun),Mazlan Denan (12 tahun) dan mandornya ialah anak saudara saya Md. Noh Bakti(15 tahun) iaitu anak pertama dari kakak saya yang sulung. Pekerja-pekerja lain yang saya masih ingat ialah seperti Mahad,Kartolo,Madon,Bancut,Sagil, Ayub Sagi dan lain-lain.

Kesemua mereka diberitakan telah dapat dan berpindah ke rancangan FELDA atau FELCRA kecuali kartolo yang sekarang bekerja ikut kontrak binaan dan kalau tidak ada kerja beliau akan menjual buah-buahan di tepi jalan di hadapan kedai Bai Kecik . Yang lainnya seperti adik saya Osman kini menjadi peneroka di FELDA Nita Dua,disamping berniaga kedai makan di Mersing, MD Noh Bakri menjadi peneroka FELDA Air Tawar Dua dan berniaga kedai makan,katering dan kontraktor membersih ladang di Felda Air Tawar Dua,Sabtu menjadi peneroka Felda Sening, membuat kerja sampingan sebagai nelayan di Tanjung Pungai dan membina rumah atau bangunan jika ada tawaran . Tidak Lama dahulu beliau banyak membela lembu,tetapi apabila pokok sawit di ladangnya telah ditebang dan ditanam semula, beliau telah jualkan semua lembunya dan sebab itu buat sementara waktu ini beliau menjadi nelayan. Manakala Mazlan pula kini tinggal di FELCRA Sungai Ara sebagai peneroka dan membuat kerja tambahan sebagai pemandu Teksi.

Manakala Abang Ahmad, dapat menjadi peneroka Felda Air Tawar Dua, tetapi kini tinggal di Simpang Renggam,menguruskan tanah yang ditanah dengan kelapa sawit diterokanya sewaktu muda bersama arwah ayah ,mengurut orang dan menoreh getah di tanah arwah ayah. Manakala abang Md. Yusof sekarang tinggal dan mengusahakan tanah yang ditanam kelapa sawit, juga diterokanya sewaktu muda bersama arwah ayah dan menjadi Ketua Kampung di Kampung Bukit Nyamuk, Masing-masing telah berkeluarga dan telah mempunyai anak dan cucu yang ramai. Ada ramai diantara anak-anak mereka yang telah menghabiskan pelajaran sama ada dari universiti dalam atau luar negara. Ada diantara mereka yang bekerja menjadi CEO di Syarikat Berdaftar dan sahamnya didagangkan di BSKL, ada yang bekerja sebagai eksutif tinggi di Syarikat Multi Nasional,Menjadi Ustaz dan Ustazah,Menjadi Pensyarah universiti,perniaga dan lain-lain. Kesemua mereka rajin-rajin belaka. Dari tinjauan saya, ramai dari mereka yang rajin belajar dan mempunyai azam yang kuat untuk memajukan diri.Sekarang ini muncul generasi ke empat dan kelima dari keturunan arwah ayah. Saya tidak dapat ramalkan tentang semangat dan kesungguhan mereka unutuk menuntut ilmu. Tetapi dari perbualan anak-anak sendiri ada menunjukkan tanda dan keazaman yang begitu kuat untuk membimbing anak-anaknya untuk berjaya.

Hari pertama bekerja dengan penuh semangat bekerja yang berkobar-kobar, tetapi agak kekok kerana tidak biasa diarah untuk buat itu dan buat ini, kesana dan kemari yang diarahkan oleh mandor Md Noh anak saudara sendiri. Kerana saya pekerja baru jadi saya diarah untuk mengisi minyak dari dalam tong deram besar kedalam tong-tong berbentuk empat segi berukuran muatan enam gelen atau 24 liter. Kemudian tong-tong empat segi yang berisi minyak diminta angkut untuk diisikan ke dalam lori . Dengan lori tersebut minyak, serta semua perkakas kerja seperti cangkul,parang, gergaji mesin, enjin air dan semua para pekerja diangkut ke kawasan bekerja di tengah ladang. Bagi setiap pekerja minyak lalang ,mereka akan diberi sebiji botol kaca besar (boleh dimuat minyak satu kati), muncong botol ditutup dengan gabus yang telah dibubuh batang resam yang dibuang hempulurnya agar berlubang. Botol besar tersebut akan diisi penuh dengan minyak diesel atau minyak kotoran yang dipungut dari kedai membaiki kereta (work shop). Botol yang berisi minyak akan ditonggengkan dan digoncang supaya minyak tersebut dapat keluar dari lubang batang resam. Minyak yang terkeluar dari muncung lubang resam dihalakan ke paras pertengahan pokok lalang, setelah nampak basah dengan minyak,pucuk lalang yang kena minyak akan dikerat pucuknya supaya dapat dikenal sebagai tanda telah dibubuh minyak dan boleh dilihat dari jauh sama ada lalang itu sudah dibubuh minyak atau sebaliknya.

Setelah habis minyak dibotol, para pekerja akan mengisi dan melakukan semula berulang-ulang. kami semua akan hanya berhenti berehat apabila sampai jam 10.30 pagi. Waktu rehat ialah selama setengah jam ( 30 minit). Masa inilah kami semua makan bekal yang dibawa dari rumah untuk sarapan pagi sambil berbual-bual dan mendengar berbagai cerita. Kebanyakan cerita berkisar tentang cerita wayang gambar pelakon dan penyanyi yang datang dari berbagai bahasa dan bangsa . Cerita-cerita wayang dan para penyanyi banyak diceritakan oleh Mahad dan Kartolo. Kebanyakan cerita tersebut diceritakan berulang-ulang oleh mereka tanpa jemu-jemu. Ada yang menceritakan tentang cerita wayang iitu sendiri ,ada yang menceritakaan tentang watak pelakun sama ada pelakun lelaki atau perempuan dan ada juga yang menceritakan tentang pakaian mereka. Cerita pasal pakaian pelakon dan penyanyi sama ada dari timur atau barat, biasanya mereka akan menceritakan tentang pakaian seperti seluar,baju,tali pinggang,cermin mata,gaya rambut,kasut, dan sebagainya .
Ceritakan mengenai pakaian ini biasanya mereka ceritakan tentang fesyen dan jenama , buatan mana,berapa harganya, siapa yang gemar memakainya dan dimana boleh didapatinya . Setengah dari mereka bekerja hanya bertujuan untuk dapatkan duit bagi membeli barangan pakaian tersebut . Pakai yang dibeli di kedai Cina Panjang akan dipakai sewaktu petang atau peda hari jumaat sewaktu hari tidak bekerjasemasa berjalan-jalan di pekan Simpang Renggam. Waktu memakainya kelihatan diperaga dengan rasa perasaan yang penuh gaya dan banga.Telatah sedemikian didapati berlaku dimana-mana dan kebanyakan diamalkan oleh remaja Melayu ketika itu.

Setelah habis waktu rehat kami semua menyambung semula kerja-kerja tersebut dan hanya berhenti tepat pada jam 2.30 petang kecuali jika hujan kami balik cepat kerana takut kerja membubuh minyak lalang untuk membunuh lalang tidak berkesan dan boleh merugikan pihak majikan .

Sebelumnya saya telah dilatih oleh ayah untuk melakukan kerja-kerja berat seperti memikul kulit kayu untuk buat dinding,memikul daun rumbia untuk dijadikan atap,mengangkut air. Semua kerja-kerja tersebut membiasakan saya untuk melakukan kerja berat, jesteru itu apabila saya disuruh untuk bekerja meracun lalang guna minyak dengan botok sekati, saya anggap kerja tersebut terlalu ringan dan tidak sejiwa dengan saya. Jesteru itu saya memohon dengan mandor Md. Noh ( anak saudara umurnya 40 hari lebih tua dari saya) ,untuk melakukan kerja mengangkut minyak lalang pula. Beliau bersetuju dan membenarkan saya bekerja mengangkut minyak dengan cara memikulnya di atas bahu . Mengangkut minyak biasanya dilakukan dari tepi jalan dan dibawa masuk kedalam lading dengan cara memikul di atas bahu . Minyak diisi dalam tong yang memuatkan minyak sebanyak 6 gelen. Tong berkenaan berbentuk empat segi sama seperti tong minyak yang digunakan oleh askar yang diletak di belakang Land Rover mereka. Minyak biasanya diangkut dengan lori pada waktu pagi bersama-sama dengan para pekerja. Minyak tersebut akan diturunkan dari lori diletakkan di tepi jalan ,di tempat para pekerja minyak lalang berkerja. dari tepi jalan saya angkat atau pikul minyak tersebut ketempat-tempat pekerja yang telah kehabisan minyak.

Walau pun kerja ini lebih berat dan teruk berbanding dengan kerja meracun lalang kerana ada ketikanya saya terpaksa memikul kepuncak bukit tinggi di mana lori tidak mampu untuk sampai. Memikul minyak melalui kawasan lereng bukit yang curam atau mendaki bukit yang menegak dan menurun gaung, tetapi kelebihan kerja demikian itu saya pilih kerana pertama, ialah saya boleh berjumpa dengan semua rakan kerja sewaktu proses membekalkan minyak yang diperlukan oleh pekerja lain diwaktu mereka kehabisan minyak. dan kedua saya boleh bersembang-sembang dengan mandor atau rakan lain terutama dengan mahad dan kertolo untuk mendengar cerita wayang yang mereka tonton malam tadi. Oleh itu saya dapat mendengarnya lebih dahulu dan lebih panjang dari rakan lain. Menakala rakan lain hanya boleh mendengarnya sewaktu rehat pada jam 10.30 pagi sahaja.

Sewaktu saya bekerja minyak lalang di ladang Nam Bee, saya dapat mengenali ramai orang yang lebih dewasa. Antaranya yang saya kenali dan masih ingat ialah Pak Atan pekak , Pak Cik Nordin Othman, Wak Sagi, Denan Othman, Ali Melaka, Abang Bakri, Pak Cik Senin, Haji Nanawi, Wak Ramlan dan lain. Kebanyakan mereka telah kembali ke rahmatullah meninggalkan kita terlebih dahulu. Gelaran Atan Pekak diberi kerana beliau tidak dapat mendengar. Selalu orang suka panggil beliau dengan bersuara kuat, tetapi sebenarnya memanggil beliau dengan perlahan dengan cara menghadap mukanya adalah lebih efektif, berbanding bercakap dengan kuat, kerana yang pentingnya beliau dapat membaca atau memahami percakapan kita melalui kumit-kamit mulut orang yang bercakap dengan beliau.

Menurut ceritanya, beliau menjadi pekak ialah di sewaktu muda beliau pernah bekerja sebagai Special polis constabel (SC) Waktu itu zaman darurat dan Negara berada di bawah pemerintahan British Army (BMA) . Semasa kejadian berlaku beliau bertugas di estet Cemara yang terletak di jalan Simpang Renggam- Renggam. Dia dan pasokannya telah diserang hendap dengan berbagai senjata termasuk bom tangan (hand grined) oleh pasokan komunis. Bom yang dibaling oleh komunis benar-benar jatuh dan meletup terlalu dekat dengan beliau. Bunyinya diceritakan sangat kuat ,ini telah menjadikan telinga beliau tidak dapat mendengar lagi sehingga sekarang.

Seingat saya beliau orang yang sangat baik, walau diejek, ditertawakan dan sebagainya , beliau tidak bertindak dan diam sahaja. Sehingga catitan ini ditulis pak Atan maseh hidup dan umurnya kini sudah menjangkau lebih 90 tahun. Beliau dari dahulu sampai sekarang tinggal di kampong Sahari Peringkat Dua. Beru-baru ini saya pernah bertemu beliau dan saya dapati beliau yang berkulit cerah, putih, bertubuh kecil kelihatan semakin mengecil, atau saya semakin gemuk sebab itu melihat beliau semakin mengecil. Wajahnya tetap putih bersih dan berseri-seri, kesihatan, pandangan dan ingatannya maseh baik. Walaupun saya sudah lebih 20 tahun tidak bertemu, namun beliau maseh mengenali saya dan bertanyakan berapa ramai anak dan ada berapa orang cucu .

Seorang lagi kenalan baik saya ialah pakcik Nordin, telah meninggal dunia kira-kira 4 tahun yang lalu, saya dapat berita kematiannya melalui abang yusof yamg memberitahu saya dengan menggunakan talifon bimbit. Sewaktu itu saya sedang memberi kuliah subjek hubungan etnik kepada pera pelajar saya di kampus UTM sekudai. Setelah habis dua jam kuliah , saya bertemu ketua jabatan memakumkan perkara tersebut dan minta izin untuk menziarahinya. Pakcik Nordin, semasa hayatnya suka bercerita dan memberi nasihat kepada saya. Beliau ada enam orang anak empat lelaki dan dua perempuan. seorang anak perempuannya bekerja dengan JPJ dan dua orang anak lelakinya yang saya tahu membuka perniagaan makanan. Rahim anaknya sekarang memiliki kilang membuat makanan. Roti perata dan berbagai kuih -muih sama ada yang telah digoring masak atau di frozen sangat digemari orang dan perniagaannya sangat maju.


Saya mula bekerja minyak lalang di ladang Nam Bee mulai kira-kira pertengahan bulan Ogos, 1964. sehingga bulan Julai 1966. Sewaktu bekerja di ladang ini saya dan pekerja-pekerja lain pernah mengalami kemalangan. Lori yang membawa saya dan rakan lain telah terbalik sewaktu mendaki bukit balik dari kerja. Menurut siasatan polis lori buruk yang menjadi pengangkutan utama para pekerja itu breknya tidak berfungsi. Sebab itu sewaktu mendaki bukit dengaan membawa pekerja yang begitu ramai , enjin lori jenis Cheverolit tidak upaya untuk naik lalu mengelunsur dan ke belakangnya menghentam bukit. Ini menjadikaan lori tersebut terbalik dan saya dan rakan kerja lain pun tercampak di atas jalan berbatu kerikil. Ramai pekerja-pekerja yang turut terpelanting ada diantaranya menghempap badan saya. Kerana ditimpa dengan orang yang begitu ramai menjadikan tulang bahu terasa meletup dan didapati bahu sebelah kiri saya patah. Ini menyebabkan saya terasa sangat sakit tidak boleh bangun dan sukar untuk bercakap. Saya hanya terlentang diatas jalan. Setelah semua orang selesai meyelamatkan diri,barulah abang saya Ahmad sedar saya maseh terbaring di jalan lalu beliau mengangkat saya untuk bangun tetapi saya tidak terdaya , lalu saya beritahu abang bahawa bahu saya sangat sakit. Setelah dirasa beliau memberi tahu tulang bahu saya patah.

Disebabkan lori tidak mempunyai permit,lesen, tiada nombor pendaftaran , lori tersebut bolehlah dipanggil "lori hantu' sebagai mana lori yang mengangkut tanah merah dalam projek perumahan sekarang. Ini menjadikan pengurus ladang takut untuk membawa saya ke hospital, sebaliknya dibawa saya berurut di Singapura. Diceritakan tukang urut singapura itu pandai mengurut orang patah tulang. Tukang urut berbangsa Cina yang ingin ditemui bekerja sebagai tukang masak di di restoran di Beras Basah Road. Beliau hanya habis kerja pada jam 12.00 tengah malam. Sesiapa yang datang lewat petang hanya akan diurut selepas beliau habis kerja. Kerana saya sampai lewat petang saya terpaksa menunggu sehingga sampai beliau habis kerja. Semasa saya menunggu diurut, saya disuruh duduk diatas bangku dipenjuru kedai tersebut. Tunggulah saya sehingga lebih kurang jam 12.30 barulah saya dipanggil untuk diurut.

Saya yang dibawa oleh pengurus ladang tersebut telah sampai di restoran dimana tukang urut bekerja pada jam 7.00 petang. Sewaktu saya menunggu tukang urut habis bekerja, pengurus ladang dan kawan-kawannya telah pergi shopping. Setelah mereka balik semula ke restoran tersebut, kelihatannya mereka shopping sakan. Dari boot kereta dikeluarkan begitu banyak beg-beg plastik dan kemudiannya diberi saya satu beg plastik kecil , apabila saya lihat terdapat dua biji limau sunquick berwarna kekuning-kuningan. tetapi sebelum mereka meninggalkan saya untuk pergi shopping, mereka beri saya sebuku roti hailam bersama dengan sebotol air oren F&N .

Sewaktu duduk dipenjuru kedai selama lebih kurang 5 jam menunggu masa di urut dan sambil menunggu tuan saya berbelanja. Saya dapat peluang memerhatikan suasana dan tingkah laku orang-orang Singapura makan –minum dan persekitaran restoran tersebut. Restoran tersebut dipenuhi dengan berbagai bau yang amat meloyakan dari berbagai jenis makanan yang digoreng, bakaran, salai, direbus dan pangangan. Asapnya naik berkepul-kepul dan api menjulang sehingga sampai ke siling kedai. Bunyi ketokan senduk pada kuali tidak berhenti-henti. Suara orang bercapak cina terdengar dengan kuatnya seoleh-oleh bertengkar berlaku sepanjang masa.Sekali-sekala terdengar bunyi orang berkahak dan mengeluarkan air kahak kuning pekat diludahkan dimerata tempat. Perbuatan tersebut berlaku berulang-ulang dan sambut menyambut datangnya dari semua bahagian kedai tersebut.
Di tengah-tengah restoran tersebut ternampak sekumpulan pelangan yang agak ramai duduk mengelilingi meja bulat. Makanannya sangat banyak,selain itu ternampak juga beberapa buah botol bear dan minuman keras yang yang tidak diketahui jenamanya. Mereka makan dan minum beria-ia benar kelihatannya, Sekali sekala mereka ketawa dan bercakap dengan kuatnya. saya terperanjat apabila nampak seorang pelayan membawa tiga ekor monyet yang setiap seekor diikat keempat-empat kakinya.

Kemudian datang seorang lelaki membawa pisau berkilat lalu diambilnya seekor monyet yang maseh hidup dicantas tempurung kepala monyet tersebut . Selepas dicantas tempurung kepala, diletakkanlah monyet yang berdarah kepala dan diikat keempat kaki dan tangannya ke dalam satu tempat yang membolehkan seolah-olah monyet tersebut duduk tegak tanpa bergera. tetapi saya nampak matanya maseh terkebil-kebil sambil berbunyi tanda kesakitan . Dikerjakannya seekor demi seekor sehingga habis tiga ekor. Setelah itu saya nampak salah seorang pelangan yang berbadan besar dan bermuka merah padam menuangkan sesuatu ke atas ketiga-tiga kepala monyet. Kemudian setiap dari mereka mengambil strow , meletakkan muncung strow ke atas kepala monyet yang dicantas lalu bergilir-gilir menyedut otak monyet tersebut. Sewaktu melihat peristiwa tersebut hati dan perasaan saya sangat sedih dan terharu. wujud pertanyaan mengapa manusia boleh tergamak melakukan hal sebegitu. Adakah disebabkan mereka orang kaya lalu tergamak melakukan dan makan yang sedemikian itu, bagaimana mereka boleh makan begitu atau semimangnya makanan yang tidak dimasak, dari bahagian otak pula lebih enak, lazat,mengandungi banyak zat dan banyak khasiat pula.saya tidak dapat memikirkannya ketika itu. Allah Waalam.

Saya lihat jam bulat yang tersangkut didinding sudah mendekati jam 12.00 tengah malam. Mata tidak terasa mengantuk kerana bunyi yang senentiasa bising. Tambahan lagi tulang bahu yang patah telah mula membengkak dan terasa semakin sakit sehingga melilihkan air mata. Walau bagaimana kesakitan yang sedemikian itu saya tahankan juga. Kalau dirumah tentunya saya sudah menangis terisak sehingga tersedu-sedu.Entah berapa kali agaknya saya akan memanggil nama ibu dan nama yang lain. Tetapi di Singapura itu , tangisan saya hanya dipendam jauh -jauh dalam kalbu. saya sedar kalau menangis bukan ada orang peduli. Semuanya yang ada disitu tidak akan memahami tangisan saya. Lebih-lebih mereka akan bertanya saya dalam bahasa Cina yang mungkin maksudnya , hendak daging babi salai, tupai bakar, ayam goreng, mee hailam, ikan bakar, nasi goring, nasi ayam atau minum bear. Kerana itulah sahaja yang saya nampak para pelangannya makan di restoran itu.

Setelah mendeketi jam 12.00 malam barulah rosteran tersebut mula sepi, tidak lama selepas itu,dinding kedai mula ditutup satu papan demi satu papan dan akhirnya tertutup semua kecuali pintu besar yang maseh terbuka. namun demikian maseh ada beberapa orang yang tadinya saya lihat sebagai pekerja restoran tersebut berjalan kesana kemari. Saya cari dan cuba teka yang mana satu agaknya tukang urut yang akan mengurut nanti.menakala disebelah saya terdapat empat orang kaki tangan Nam Bee estate yang datang membawa saya ketempat itu.

Apabila jam didinding menunjukkan pukul 12.20 malam seorang pekerja restoran yang gemok -gedimpol telah menjeling saya dan mengajak saya menyeberang jalan pergi kebiliknya penginapannya. Sampai sahaja dibiliknya dengan pantas dibuka kain tuwala yang menyelimuti badan dan anduh yang mengampu tangan saya akinbat patah tulang bahu.lalu diambi sebiji botol berisi cecair berwarna putih dituang ditapak tangannya lalu disapu di bahu saya yang patah. Selepas itu kain anduh dipasang semula dan lalu taukeh saya mengajak saya menaiki LAND ROVER untuk balik kerumah saya di Simpang Ranggam.

Saya sampai rumah jam sudah menunjukkan pulul dua setengah pagi. Apabila saya sampai kerumah ibu, bapa dan semua adek beradik datang menyerbu untuk mengetahui khabar berita. Apabila masuk kedalam rumah emak telah bersedia dengan air masak untuk rawatan dan mandian. Saya nampak di dapur ,cerek terus tertinggik ditungku dan api kayu terus menyala. Arwah ibu dengan berhati-ati sekali membuka selimut tewala yang digunakan sebagai penganti baju kemudian dipegang tangan saya dengan lembut dan dibuka kain anduk tangan dengan dan cermat perlahan-lahan. Arwah ibu kemudiannya lap badan saya dengan air panas suam.Diminumkan saya air suam segelas, diambilnya pula halia yang sudah ditumbuk dan diadun dengan cuka masak lalu disapu perlahan-lahan di kawasan yang patah sambil mulutnya komit-kumit. Sekali-sekala saya dengar sebutan al-fatiha dan beberapa ayat al-quran yang lain. baharulah saya terasa lega,ringan,boleh menguitikan jari mula dan mula berani mencuba mengangkat-angkat tangan, dan sakitnya semakin beransur hilang. Saya memilih tempat dan duduk menyandar dinding dan terus terlelap , lepas itu saya hanya tersedar apabila matahari sudah meninggi,kedua abang dan adek sudah pergi kerja yang ada di rumah hanyalah ibu dan adek perempuan bungsu. apabila saya tanyakan ayah dimana, ibu menjawab ,ayah kekebun baru untuk mengabiskan tanaman kelapa sawit.Jauh disudut hati waktu itu ingin memberi tahu kepada semua orang , amat berbeza rasa sentuhan ibu.

Dua minggu kemudian setelah sembuh saya datang semula ke ladang Nam Bee untuk memulakan kerja semula.Selama dua minggu berada di rumah saya dirawat ibu dan bapa dengan begitu baik dan sempurna. Apa yang saya minta dicari dan disediakan untuk saya. Pada masa itu sayaterasa mendapat layanan yang cukup istemewa. abang-abang dan adek-adek turut simpati di atas musibah yang saya hadapi. tetapi selama dua minggu di rumah,tiada ada seorang pun pihak majikan menjengok apatah lagi memberi sebarang bantuan. Yang datang hanya saudara mara dan jiran-jiran terdekat sahaja.

Selepas bekerja semula, buat sementara saya tidak berani untuk melakukan kerja memikul minyak lalang dalam tong empat segi. Arwah ibu berpesan jangan angkat barang yang berat-berat dahulu tulang yang patah maseh belum kuat. oleh itu saya tidak berani untuk berlasak-lasak buat sementara. Saya lakukan kerja meracun lalang sebagaimana dahulu dengan mengunakan botol berwarna gelap yang bertutup gabus dan bermuncungkan batang resam berlubang. Setelah dua minggu bekerja, dikira sudah 12 hari bekerja. Ini bermakna saya ada duit di pejabat sebanyak RM 18 . Dengan adanya jumlah upah sebanyak itu bolehlah saya meminjam RM 10.00 dari majikan saya. Malam tadi ibu beritahu, barang-barang dapur telah banyak yang habis. Tembakau dan daun rokok ayah juga sudah tinggal sedikit. saya sangat faham dengan percakapan ibu. Itu tandanya saya diminta membuat pinjaman dengan majikan tempat saya bekerja.

Esok harinya selepas habis bekerja dan setalah sampai ke pejabat ladang, waktu kira-kira pukul 3 petang, saya berjalan menuju ke depan pintu pejabat. Saya lihat dalam pejabat terdapat empat lima orang sedang bercakap-cakap sesama mereka. Entah apa yang dipercakapkan saya tidak faham tetapi sekali-sekala ada terdengar mereka ketawa gembira. Saya tunggu suasana dan masa yang sesuai untuk beritahu tujuan saya. Setelah saya tunggu satu jam barulah mereka menamatkan perbualannya. Dengan kesempatan tersebut saya pun berjumpa dengan Ping Yam (pengurus ladang)orangnya sudah agak tua dan sebulan lalu ada membawa saya berubat di Singapura .


Saya beritahu hajat saya kepadanya iaitu ingin meminjam duit sebanyak RM 10.00. Mendengar sahaja permintaan saya, mukanya yang tadi nampak gembira , bertukar wajah menjadi masam dan berkerut. Beliau membibil dan bercakap-cakap dalam bahasa tionghwa. Saya langsung tidak memahami maksud percakapannya, tetapi dari raut air mukanya ada tanda-tanda yang menunjukkan beliau marah mendengar permintaan saya. Tidak lama kemudian beliau masuk ke dalam pejabat tetapi tidak muncul-muncul. Kira-kira satu jam kemudian, datang Ah Guan (pengurus kewangan) dengan membawa Land Rover, beliau dan kenderaan itulah juga yang membawa saya berubat di Singapura dahulu. Kedatangan Ah Guan ke pejabat melegakan saya. Saya nampak beliau masuk ke dalam pejabat lalu bercakap-cakap dengan Ping Yam. Perbualan antara kedua-duanya dirasakan begitu lama. Dengan itu saya memberanikan hati untuk memberitahu buat kali kedua .Rupa-rupanya Ping Yam cukup marah apabila perbualannya diganggu. Sambil memaki menggunakan bahasa tionghwa beliau menyeluk saku dan mencampakkan duit Rm 5.00 ke atas tanah hadapan pejabat. Saya mengambil duit tersebut dan terus berlari-lari ke basikal ,lalu menunggang basikal dengan laju balik menuju ke rumah. Sampai di rumah saya terus beritahu ibu dengan mengatakan ,saya hanya dapat meminjam RM5.00 sahaja. Ibu terus menyuruh saya ke Simpang Renggam untuk membeli 10 kati beras, sekati gula ,sekati garam dan sebungkus tembakau jawa bersama-sama dengan seikat daun rokok nipah. Lalu saya mengambil basikal dan mengayuhnya dengan laju menuju ke Simpang Renggam. Waktu itu hari sudah mula gelap ,saya terus melajukan kayuhan supaya sampai sebelum kedai ditutup.

Setelah sampai di kedai saya membeli sebagaimana yang dipesan oleh ibu. Duitnya cukup-cukup sahaja untuk membeli barangan yang dipesan oleh ibu tadi, tetapi tidak dapat membeli barangan yang dicakapkan oleh arwah ibu semalam. Antara barangan yang dicadangkan semalam yang tidak dapat dibeli ialah tepung gandum,ubat penaik,lada kering, kacang merah dan ikan bilis hitam.Tepung,baking powder (serbuk penaik) dan kacang merah adalah ramuan untuk membuat pau kacang. Ibu pandai membuatnya dan kuih ini merupakan makanan kegemaran keluarga saya.

Selesai berbelanja,saya cepat-cepat mengangkut barang yang dibeli dan meletak dengan kemas di karea(tempat meletakkan barang di belakang basikal). Dengan tidak berlengah lagi, saya mengayuh basikal melalui jalan belakang bagi mengelakkan lalu di hadapan balai polis.Saya kayuh basikal dengan sekuat hati agar dapat sampai ke rumah dengan segera.Sesampai di rumah saya mengangkut barang masuk ke dalam rumah. Waktu itu arwah ibu sedang menunggu kepulangan saya kerana di rumah sudah kehabisan beras untuk dimasak untuk makan malam .

Kira-kira jam 10.00 malam baru saya dan keluarga dapat makan.Kami makan dengan diterangi cahaya api dari pelita minyak tanah. Pelita yang satu itulah, kami angkut ke sana ke mari apabila mencari sesuatu barang pada malam hari. Kadangkala, kami berbalah kerana mengalihkan pelita ke tempat lain sedangkan ianya perlu digunakan ditempat itu ketika itu. Oleh sebab, pelita api itu sering bergerak berpindah-randah ada kawasan dalam rumah yang terang dan ada kawasan yang gelap. Pada waktu itu untuk mengetahui di mana ayah berada, saya akan mencari cahaya merah dari pancaran api rokok daun yang ayah hisap. Peranan ibu ketika itu ialah memastikan pelita minyak tanah dipadamkan dengan cepat, agar dapat menjimatkan minyak.Sebotol minyak tanah yang berat sekati harganya Rm 0.20 sen. Walaupun harga sebegitu bukanlah mahal sangat,tetapi jika kehabisan minyak untuk membelinya hanya boleh diperolehi di pekan Simpang Renggam.

Setelah pelita dipadamkan dan ruang rumah menjadi gelap gelita,saya meraba-raba untuk mencari tempat tidur dicelah-celah adik beradik.Saya raba perlahan-lahan dengan membongkokkan badan kerana takut terpijak sesiapa diantara kami yang telah baring dahulu. Setelah mendapat tempat saya rebahkan badan untuk berehat dan tidur bagi persiapan kerja hari esok. Pada malam itu saya susah untuk melelapkan mata kerana masih teringat-teringat perbuatan majikan saya, Ping Yam mencampakkan duit RM 5.00 yang saya hendak pinjam ke tanah.Mengapa dia tidak menghulurkan duit itu untuk saya ambil dari tangannya?Saya terfikir, adakah kerana saya berbeza etnik dengannya, atau saya berbeza tempat kelahirannya,atau berlainan sekolah, atau saya berbeza usia atau saya berbeza taraf dan pendapatan dengannya? Persoalan ini terus bermain-main di pemikiran saya.

Mula terlintas di benak pemikiran bahawa jawapannya ialah “oh, kita berlainan bangsa”. Tetapi saya terfikir semula ada rakan ayah yang sama-sama meneroka tanah baru di batu 39, Jalan Air Hitam, Johor Bahru bernama Young Kwi dan jiran sebelahnya satu lagi bernama Ah Yong, mereka sangat baik. Mereka semua peramah ,pada waktu petang mereka berdua sering datang ke kebun baru ayah untuk bercerita tentang tanaman kelapa sawit,getah,keladi,keledek dan sebagainya.Mereka turut bertukar ganti menawarkan rokok, malah anak muda yang bernama Ah Young sangat suka makan ubi kayu bercecahkan sambal tumis masakan ibu. Dia sering memuji “selap-selap” dengan bahasa pelat cina sambil mengangukkan kepala yang sebenarnya dia ingin menyatakan kesedapan sambal tumis masakan ibu . Jawapan yang mengatakan kita berbeza bangsa adalah tidak betul.

Lantaran itu saya terus mencari jawapannya, dan jawapan itu saya temui apabila Tun Abd. Razak mengisytiharkan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Kemudiannya saya mendalami pemahaman ini untuk kepastian sewaktu saya belajar di universiti. Ini menjadikan saya semakin yakin bahawa selepas DEB dilancarkan bermula pada tahun 1970, tidak berulang lagi peristiwa persengketaan kaum sebagaimana yang berlaku dalam peristiwa Selindang Merah di Batu Pahat, krisis memperlekeh gambar Yang Dipertuan Agong bagi menggantikan baginda Queen dalam paparan mata wang Malaysia di Pulau Pinang,krisis perebutan kerusi perwakilan dalam pilihan raya di Setiawan,Perak dan yang paling berharga tidak berulang lagi Peristiwa 13 Mei 1969 sebagaimana yang berlaku di Kuala Lumpur.Namun perbuatan Ping Yam tersebut telah meninggalkan kesan dihati saya dan akhirnya saya berhenti apabila mendapat kerja di tempat lain setelah dua tahun saya bekerja disitu.

Apabila saya dapat kerja dengan FELCRA sebagai buruh, tetapi pekerjaan itu saya rasai lebih bermakna. Kerja-kerja yang diminta saya lakukan ialah mengali lubang dan menanam getah,mengali parit,meracun rumput rampai,"prunning" pokok getah, membaja,dan memperbaik jalan ladang.Kemudian diluaskan lagi bidang kerja kepada menanam kelapa sawit,menanam pokok bunga dan kadang kala diberi kepercayaan untuk membersihkan pejabat dan lain-lain lagi. Saya lakukan semua itu dengan senang,bersungguh-sungguh dan suka hati.Waktu itu pengurus Felda Encik Mohd Noh Yusof dibantu oleh Encik Hassan,Encik Ridzuan,Encik Samat dan Encik Tahir sebagai pegawai luar.Mereka semua tinggi dan berbadan sasa. Sewaktu bekerja dengan Felcra saya dibayar upah RM 3.50 sehari. Selepas bekerja 3 hingga empat bulan upah saya dinaikkan kepada Rm 4.50 sehari. Pendapatan sebanyak itu sudah cukup besar bagi saya ketika itu. Abang-abang saya yang masih bekerja di Ladang Nam Bee masih kekal dengan upah Rm 3.00 sehari. Saya sedar jika abang saya bekerja dengan Felcra tentu dia dapat upah lebih besar atau saya tidak dapat peluang naik gaji. Saya ajak juga kedua-dua abang saya bekerja dengan FELCRA,tetapi mereka menolak kerana telah dijanjikan oleh majikan mereka untuk diberi peluang menoreh getah di ladang tersebut. Bagi kelulusan hanya sekolah darjah enam sahaja, peluang dapat menoreh getah "kahwin" adalah satu yang sangat istimewa. Setelah sekian lama abang bekerja dan berusaha menunggu untuk dapat peluang menoreh getah kahwin barulah peluang tersebut muncul.

Apabila pokok getah sudah matang, dibuka tander untuk membuka pelan,memasang kawat dan menyiapkan cawan untuk menakung getah. Tender yang dibuka itu berjaya dimenangi oleh Sanip Hj. Noor abang saudara saya, kerana bedaan harganya adalah yang paling rendah. Kerja-kerja persiapan untuk menoreh ladang seluas 3600 ekar dilakukan dan diselesaikan dalam tempoh yang ditetapkan iaitu selama 3 bulan. Abang Sanip membawa para pekerjanya dari kampung asal kelahiran saya. Mereka semua berpengalaman kerana pernah menoreh getah di ladang Tanjung Semerong,Sri Gading, Batu Pahat. Setelah semuanya selesai, tugas majikan seterusnya mencari dan mengambil para pekerja untuk menoreh pokok getah kahwin muda (getah cantum).

Temuduga dilakukan dan saya mendapati bahawa ramai pekerja Cina dan India berjaya dalam temuduga tersebut. Orang-orang Cina diambil bekerja kerana mereka dikatakan ada pengalaman menoreh pokok getah kahwin di tanah bapa atau saudara-maranya , menakala orang India yang diambil bekerja kerana mereka banyak pengalaman menoreh gerah kahwin diladang-ladang besar kepunyaan orang putih. Menurut cerita abang hanya sedikit sahaja orang Melayu yang berjaya dalam temuduga tersebut. Mereka yang berjaya adalah mereka yang memiliki surat pengakuan kerja baik dari pengurus-pengurus ladang besar kepunyaan orang Eropah.

Kedua-dua abang saya gagal dalam temuduga tersebut.Abang tua saya Ahmad,berpindah ke Bahau ,Negeri Sembilan dan mencari kerja di sana dan abang Yusof merantau ke Paloh, Batu Pahat. Kedua-dua mereka di sana bekerja menanam dan menjaga ladang getah kahwin yang baru mula ditanam. Keduanya hanya berpindah balik apabila pokok getah kahwin di kebun ayah yang saya ,adek bungsu dan ibu mebersihkan rumputnya dahulu sudah matang dan boleh ditoreh. Bekerjalah kedua-dua abang menoreh getah kahwin ditanah ayah seluas lapan ekar. Cahaya yang menyuluh keluarga mula terang pada hari-hari berikutnya.

Rabu, 27 Mei 2009

Pembela Chin Peng dan Rakyat Malaysia

Saya amat tertarik isu perdebatan mengenai Chin Peng, yang dipaparkan dalam Utusan Malsysia bertarikh khamis 28 Mei 2009. Sama ada oleh Sallahuddin Ayub,ketua Pemuda PAS,Mustafa kamal Ayub (PKR), Dr. Tan Seng Giaw (DAP)semua seolah sekata bersetuju untuk membenarkan Bekas Ketua Penganas Komunis Chin Peng Balik ke Malaysia. Mereka semua memberi berbagai hujah dan rasional tertentu untuk mencadangkan agar bekas ketua PKM di benar pulang ke nagara ini. Malah dicadangkan agar kerajaan pergi bertemu ketua PKM untuk menyiasat sama ada beliau masih berideologi komunis atau tidak. Bagi saya cadangan untuk menemui Chin Peng dengan menggunakan wang rakyat kalau benar dilakukan sedikit pun saya tidak kesali. Persoalannya mudahkah untuk kita mengetahui apa yang tersembunyi dalam kepala seseorang. Manusia boleh berpura sama ada dalam percakapan, pengakuan dan perbuatannya. Kalau ketiga-tiga mereka sepakat setuju untuk membenarkan Chin Peng di bawa balik, saya pun begitu juga dengan syarat, bahawa beliau dibawa balik dengan tujuan untuk didakwa atas perbuatan keganasan yang mereka lakukan dahulu. Kita minta kerajaan sediakan tribunal hak asasi kemuniasaan. Ini bukan satu yang pelik, kerana ramai penjenayah termasuk penjanayah perang boleh didakwa lama selepas negara itu aman. Contohnya Rodovan Karazik, Hun Sen, Kemir Raut dan lain-lain. Sekarang inipun para pemimpin Israel, malah presiden Bush, bekas presiden US sedang dan akan didakwa. Malah pertubuhan haram Hindraf juga pernah membawa kes tuntutannya ke Mahkamah di Britain untuk menuntut ganti rugi untuk dibayar $1juta seorang ke atas orang India dinegara ini kerana didakwa telah didiskriminasi dan dipinggirkan oleh kerajaan Malaysia.

Wujud pertanyaan, mengapakah dipilih Chin Peng untuk dibela, tidak dicari anak-anak bekas wira negara yang berada dalam kemiskinan kerana ibu bapanya dahulu berjuang mempertahankan negara ini sehingga tidak berkesempatan untuk mereka mengasuh, mendidik, menjalankan perniagaan, bekerja disektor swasta pada waktu itu yang upahnya lebih besar dari bekerja sebagai polis dan tentera.

Dalam tinjuan saya, kemiskinan yang dihadapi oleh keluarga bekas polis dan tentera yang dialami sekarang mempunyai hubungan amat rapat dengan upah yang diterima waktu bapanya berkhidmat dahulu dan mereka tidak diberi kesempatan untuk merasai jenis perkhidamatan lain terutama dalam bidang perniagaan dan perusahaan. Komunis juga amat bertanggungjawab keatas kemiskinan generasi keluarga ini sekarang, kerana komunis telah menakut-menakutkan mereka untuk ke hutan membuka ladang. Sedangkan komunis yang tinggal didalam hutan dan mempunyai kemahiran tentang selok-belok hutan, apabila mereka berwajah baru dan dengan keupayaan yang ada mereka telah mengeksploitasi dengan cara membuka tanah dan ladang-ladang yang luas di hutan-hutan yang mereka dahulu diami. Sebahagian besar mereka itu kini kaya raya, berbeza dengan keluarga tentera, polis, homgard, border squard, special konstable, guard keretapi, pemandu tuan estate, Senoi Perak, Tok Batin termasuklah pak mat di kampong Lalang, Gerik, Pahlawan Anang dan seluruh pasukan yang berlagukan "agi-hidup agi ngalaban" kebanyakannya masih miskin. Justeru jika mereka ini semua masih tidak mampu dibela perlulah dikasihani dan jangan disakiti hati dan sanubarinya.
Terima Kasih.
Wassalam.

Mengimbau Kembali 3

Selepas berhenti sekolah dan berhijrah ke Simpang Renggam, tinggal bersama ibu bapa dan adik-beradik buat seketika sangat menyeronokkan. Pada mulanya tidak banyak kerja yang perlu dilakukan. Kebanyakan masa dipenuhi dengan bersembang dengan ibu-bapa dan ahli keluarga yang lain. Selepas tiba ke rumah keluarga, didapati persekitaran tempat kediaman kami sangat berbeza sama sekali dengan persekitaran kampung kelahiran dan kampung tempat dimana saya menumpang teduh di rumah kakak dahulu. Di Simpang Renggam, keluarga menetap di Rancangan Pinggir, Batu 42, Jalan Johor Bahru, Air Hitam. Kawasan Rancangan Pinggir ini bentuk muka-bu inya berbukit-bukit. Ada kawasan yang curam dan berbatu-batu dan ada kawasan puncak bukit dan agak rata bentuk muka buminya. Di Rancangan Tanah Pinggir ini ayah dapat tanah dari kerajaan seluas kira-kira 8 ekar. Tanah arwah ayah merupakan kawasan yang paling tinggi dari keseluruhan tanah di kawasan ini.

Pada mula diteroka tanah kawasan ini gondol sahaja. Ini kerana sebelum diberikan kepada para peneroka pihak kerajaan telah membersihkannya terlebih dahulu dengan cara menebang hutan membakar untuk dibersihkan dan dibajak dengan traktor bagi mana-mana kawasan tanah yang rata. Memandangkan arwah ayah dapat tanah bukit yang tinggi dan curam, membajak dengan traktor tidak dapat dilakukan dan diganti dengan membuat teres dengan mengunakan Boldoser. Meneres adalah sangat diperlukan bagi ketahanan curam untuk projek tanaman pokok getah.

Semua keluarga saya yang belum berumah tangga telah berpindah ke kawasan ini enam bulan lebih awal dari saya. Mereka semua telah melakukan kerja-kerja mengali lubang dan menanam benih pokok getah. Tanaman getah yang diusahakan tumbuhnya tidak berapa subur kerana keadaan tanah yang berbatu-batu dan tidak mampu membubuh baja. Namun demikian rumput-rampai tumbuh dengan subur. Rumput tumbuh subur kerana tanah bukit yang diteres itu apabila kena hujan akan menghanyutkan tanah-tanah halus. Tanah-tanah halus berbaja yang dihanyutkan air tersangkut pada teres tanaman getah. Oleh itu didapati rumput rampai dapat tumbuh dengan subur menakala anak getah tumbuh merikit kerana baja yang ada dimakan oleh rumput.
Tinggal bersama keluarga pada waktu itu ialah ayah dan ibu beserta dua abang yang umurnya sekitar 19 tahun dan 16 tahun. Manakala ada dua orang adik yang berumur 12 tahun dan 10 tahun, arwah ayah waktu itu berumur 55 tahun dan ibu berumur 50 tahun. Pada usia sebegitu, ayah dan ibu kelihatan cukup tua. Ayah sering di serang penyakit semput, nasib baik arwah ibu pandai mengurut, jadi jika ayah kena semput ibu cepat-cepat cari halia yang ditanam disebelah rumah dan dicampur dengan minyak masak atau di ambilnya minyak tanah di urutlah dibelakang atau didada ayah agar hangat, supaya dapat memudahkan ayah bernafas.

Oleh kerana kawasan tanaman pokok getah sempat ditumbuhi rumput, saya dan adik bongsu bersama-sama ibu setiap hari akan merumput, menajak di teres getah. Ibu beritahu kalau kita dapat 10 pokok baru boleh balik. Kerja menajak rumput sepanjang 10 gang pokok getah bukan kerja mudah. Ini kerana kawasan yang dibersihkan ialah tanah yang berbatu-batu dan alatan yang ada hanyalah sebilah tajak yang dipakai oleh ibu dan saya dua beradik mencabut rumput dengan tangan. Biasanya kami memulakan tugasan merumput jam tujuh dan akan siap untuk dapat 10 gang pokok getah kira-kira jam 11.30 pagi. Oleh kerana kawasan yang dikerjakan lapang, tidak ada pokok besar yang melindungi atau dengan kata lain laksana padang, maka cuaca pagi begitu rupa sudah cukup untuk merasai panas terik. Muka kami semua menjadi hitam dan lebam sehingga apabila ada saudara dari kampung yang datang menziarah keluarga kami mereka berkata kesihannya, kurusnya, susahnya awak dan sebagainya. Tetapi saya percaya arwah ibu cukup tabah dalam menghadapi itu semua. Sikap inilah agaknya sedikit sebanyak meresap dan menyerap dalam diri saya.

Walaupun arwah ayah seorang yang pandai bertukang, boleh mendirikan dan membuat rumah sendiri, tapi rumah kami di Simpang Renggam ini hanyalah pondok berbentuk pisang sikat. Lebarnya hanya 14 kaki dan panjangnya 20 kaki. Pondoknya beratap zink, tiangnya berkayu bulat dan dindingnya diperbuat dari kulit kayu yang diambil dari hutan yang jaraknya tiga batu dari rumah. Lantai pondok adalah tanah yang diratakan dan hanya di buat pangkin dari kayu bulat yang diambil dari hutan. Di atas pangkin inilah kami semua duduk bersembang, makan dan tidur. Di pondok seluas itulah kami berteduh dari hujan dan panas, makan, ibu memasak, tidur dan berehat. Pada siang hari udara dan bahangnya sangat panas dan di waktu malam dindingnya mengigit tulang.Tidak ada selimut dan yang ada hanya kain sehelai untuk pakaian di rumah dan digunakan untuk sembahyang. Pakaian kami yang ada hanyalah sehelai baju dan seluar berwarna kelabu buatan dan dibawa masuk dari negeri China untuk kegunaan kerja. Jika sudah kotor dibasuh di kolam yang terletak dalam gaung di hujung tanah ayah. Sementara menunggu pakaian tersebut kering, kami pakai kain sarung. Memandangkan badan kami semua kurus-kurus belaka dan tiada perut, kerap kali kain sarung yang kami pakai melungsur kebawah dan hendak terlucut, lalu kami gulung dan gulung kadang kala kain tersebut digulung sehingga terlepas keatas.

Tidak lama selepas ayah menetap di Pinggir, dua abang saya mendapat kerja sebagai buruh di ladang Nam Bee, Batu 40, Jalan Air Hitam, Johor Bahru. Ramai pekerja di ladang ini terdiri dari orang Melayu. Mereka bekerja sebagai buruh, menanam getah dan sagu rumbia. Pemilik, pengurus dan kerani ladang terdiri dari orang-orang cina yang datang Bandar Hilir Melaka. Antara nama yang saya masih ingat ialah Ah Guan (anak saudara Nam Bee) sebagai pengurus kewangan, Peng Yam sebagai pengurus ladang manakala Ah Tick, Ah Kaw, Ah Kiaw, Kaw Sai, Ah Lik sebagai kerani dan pemandu lori. Manakala En. Hussin, Arshad dan Md. Noh Bakri sebagai mandor dan orang Melayu lain yang bilangannya seramai 60-70 orang bekerja sebagai buruh. Bagi buruh dewasa mereka dibayar upah RM 3.00 sehari dan bagi buruh kanak-kanak seperti saya yang berumur dalam lingkingan 12 hingga 17 tahun di bayar RM 1.50 sehari.

Peraturan kerja di ladang ini ialah para pekerja yang mahu bekerja mesti sampai ke pejabat ladang sebelum jam 6.00 pagi, bertolak dari pejabat ladang ke kawasan kerja jam 6.15 pagi dan balik dari ladang jam 2.30 petang. Kerana kawasan ladang tersebut luas, biasanya para pekerja hanya akan sampai semula ke pejabat ladang pada jam 3.30 petang. Setelah sampai ke pejabat ladang dan setelah disahkan kehadiran pekerja penuh, barulah pekerja boleh balik.

Sebahagian besar pekerja tinggal disekitar pekan Simpang Renggam yang jauhnya kira-kira 14 KM dari ladang. Mereka datang dari Kawasan Kampung Sahri, Parit Haji Hashim, Kampong Chokro, Parit Mohamad Amin, Machap dan Kampung Melayu. Pekerja yang tinggal di Kampung Melayu dirasakan lebih hebat dan disegani kerana kampung tersebut terletak dipinggir pekan Simpang Renggam. Ada setengah mereka dari anak-anak pekerja JKR, pemandu bas, jaga panggung wayang, pekerja kilang kayu dan lain-lain. Kerana mereka tinggal ditempat yang demikian, rakan-rakan yang kekurangan barang seperti kehabisan rokok, daun rokok atau tembakau, garam, mancis dan sebagainya akan dikirim untuk mereka belikan dan bawa pada hari bekerja keesokkan harinya.

Apa yang menyeronokan ada dua orang sahabat bernama Kartolo dan Mahad. Mahad adalah anak tiri kepada mandor Arshad, kedatangannya senantiasa ditunggu-tunggu oleh rakan-rakan lain. Pada waktu rehat jam 10.30 pagi, kami berkumpul sambil makan bekal yang dibawa dari rumah, mereka berdua akan bercerita dan mengulas cerita wayang gambar yang ditontonnya malam sebelumnya. Panggungnya dibuat dari papan, tidak berbumbung dan dipenuhi dengan pijat. Saban hari ada sahaja cerita wayang gambar yang mereka ceritakan. Keadaan ini boleh berlaku adalah disebabkan kedua mereka bekerja sebagai pemungut tiket di panggung tersebut. Justeru itu nama-nama seperti John Wine, P. Ramlee, Rahmah Rahmat, Jins Shamsuddin, Aziz Jaffar senantiasa meniti dibibirnya.

Setahu saya para pekerja yang berkerja di ladang Nam Bee kebanyakkan pergi dan balik, mereka menunggang basikal. Hanya terdapat dua orang sahaja yang menunggang motorsikal, iaitu mandor Arshad dan mandor Hussain. Selebihnya berbasikal berboncengan. Bagi keluarga saya hanya memiliki sebiji basikal sahaja. Jadi kami tunggang basikal bertiga dan yang lain berlari-lari anak mengejar dari belakang. Aktiviti sebegini di lakukan saban hari ketika pagi dan balik kerja.

Pada suatu malam, sebaik sahaja selepas makan malam bersama-sama ayah, ibu dan adik-beradik yang lain, (sebelum saya dan ayah bekerja di ladang Nam Bee), ayah telah memberitahu kepada semua, bahawa esok ayah akan ajak saya ke hutan untuk ambil kayu untuk buat dan besarkan rumah. Dengar cakap ayah abang Yusof suka, kerana selama ini dia anggap saya jadi anak kesayangan, manja dan tidak buat sebarang kerja. Lihat abang tergelak saya amat faham isi hati dan maksudnya sebab itu saya amat gembira apabila ayah memgajak saya untuk mencari tiang kayu di hutan. Sebenarnya saya pun setuju dengan ketawa sinis yang terkeluar dari bibir abang. Ini kerana bagi setengah orang selalunya sesuatu aktiviti itu hanya dianggap kerja apabila boleh mendatangkan duit. Sebab saya bekerja merumput yang tidak mendapat pendapatan duit lalu dianggap oleh abang sebagai tidak bekerja. Sepatutnya tangapan masyarakat jangan sampai begitu, bekerja untuk duit adalah satu perkara dan kerja untuk menolong satu perkara lain yang juga ada nilainya.

Keesokan hari, pagi-pagi lagi saya dan ayah keluar rumah berjalan kaki menuju hutan yang jauhnya kira-kira 4-5 batu dari rumah. Kami berdua masuk kedalam hutan untuk mencari kayu yang lurus, panjang dan ukuran lilit bulatan antara 20 hingga 25 inci. Ayah tebang 6 batang pokok dan setiap batang di kemudian potong tiga. Tiap-tiap batang yang dipotong panjangnya 10 kaki. Saya disuruh memukul-mukul kulit kayu yang sudah dipotong, kemudian dikupas untuk dijadikan dinding (bukan dinding kaca). Saya lakukan dengan tekun. Setelah ayah mendapat 20 batang tiang dan setelah selesai dikupas kulitnya ayah menunjukkan kepada saya mengulung dan mengikat kulit kayu dengan rotan Saga, agar mudah dipikul. Ayah mula mengangkat dan memikul tiang, menakala saya mula mengangkat dan memikul kulit kayu untuk dijadikan dinding.

Diawal perjalanan sambil memikul dinding kulit kayu dirasakan tidak beberapa berat, tetapi semakin lama dinding kulit kayu yang dipikul terasa semakin berat. Apabila saya rasa tidak tertahan beratnya saya campakkan dinding kulit kayu tersebut ketanah dan sambil merebahkan diri berbaring di tanah. Setelah hilang penat saya sambung semula memikulnya, begitulah seterusnya berulang-ulang kali sehingga habis sampai ke rumah. Ayah yang memikul tiang kayu bulat dan masih basah tentu bebannya lebih berat, mungkin kerana hendak memberi semangat dan contoh bekerja kepada saya, saya nampak ayah rileks sahaja memikul tiang tanpa henti dan jauh meninggalkan saya dibelakang. Setelah sampai separuh jalan yang jaraknya kira 2 batu lagi dari rumah, saya nampak ayah datang menyongsong. Semakin lama semakin dekat. Apabila sampai dihadapan saya ayah berjalan melintasi saya dan terus berjalan menuju kehutan semula. Dalam fikiran, saya duga ayah akan memikul sebatang tiang lagi, tekaan itu sememangnya benar. Memahami hakikat ayah akan mengangkat tiang bulat lagi, ini menguatkan semangat saya untuk terus memikul dinding kulit kayu sehingga sampai ke rumah. Sebelum sampai kerumah, ayah dengan memikul tiang berjalan pantas memotong saya. Setelah diletakkan tiang kayu tersebut, ayah menyongsong dan mengambil barangan pikulan saya untuk sambung dibawa balik ke rumah. Saya sangat pelik, ayah yang sudah agak tua, tetapi masih lagi mampu memikul dua kali ulang tiang kayu bulat yang baru ditebangnya. Dan esoknya dengan riang ayah mengajak saya mengangkat lagi sehingga habis diangkut kesemuanya.

Memikul dinding kulit kayu yang kasar dan mengerutu untuk hari pertama tidak seberapa menyeksa. Tetapi memikul dinding kulit kayu yang sebegitu rupa untuk hari kedua dan hari-hari berikutnya sangatlah menyeksakan. Kulit bahu, kulit lengan dan leher semuanya talah melecet, apabila mandi dan terkena air amatlah pedih. Apatah lagi apabila disimbah dengan peluh yang bergaram, hanya Allah yang tahu sakitnya. Untuk mengelakkannya, saya cari dan bawa kertas untuk dijadikan alas memikul, akhirnya bersama bantuan ayah habis juga tiang dan dinding kulit kayu diangkat. Ayah dan saya bekerja menggangkat tiang dan kulit kayu itu selama seminggu genap. Setelah selesai saya lihat wajah ayah gembira dan tersenyum puas.

Seingat saya malam jumaat, sewaktu ahli keluarga sedang berkumpul, ayah beritahu, esok kita ratakan tanah untuk buat tapak rumah. Arwah ibu bertanya agak dimana tempatnya. Jawab ayah, di atas bukit di kawasan yang agak rata. Ibu dan kami semua diam tanda setuju. Ayah sambung lagi, kita buat dapurnya menyebelah gaung tengah dan pintu hala kejalan. Saya mencelah percakapan ayah, diatas kan semakin jauh dari perigi? Pertanyaan ini diajukan kerana sayalah yang sering disuruh olek ibu untuk ditugaskan mengangkut air dari perigi dibawah gaung ke rumah. Kerja mengangkut air dari perigi dengan baldi, kemudiannya mengangkat melalui tebing bukit yang curam sangat meletihkan. Kerja tersebut dilakukan setiap hari dan tidak nampak kesudahannya. Ia mesti dilakukan setiap hari kerana untuk kegunaan memasak, makan minum dan membasuh. Jawab ayah, diatas sana anginnya kuat dan esok tentunya akan sampai air paip.

Ayah meneruskan bicaranya, kita buat rumah ini bukan hanya tempat berteduh anak bini, tetapi untuk berhimpun anak cucu dan saudara mara terutama waktu kenduri kendara dan hari raya. Mengingatkan hari raya waktu itu akan sampai kira-kira lagi dua bulan setengah, kami sekeluarga bertekad untuk menyiapkannya sebelum menjelang hari raya.

Kerja membuat tapak rumah memakan masa tiga hari, lepas itu ayah mengajak saya lagi untuk mengambil daun sagu rumbia dipaya berhampiran hutan. Ayah potong daun rumbia dan saya tolong pungut dan kumpulkan. Kemudian ayah ikat menjadi empat ikatan, dua besar dan dua kecil. Saya faham sangat tujuan ayah berbuat demikian. Habis sahaja diikat saya ambil ikatan yang kecil lalu memikulnya menuju kerumah. Dirumah ibu sudah berkira-kira untuk memulakan kerja menganyam atap. Dikampung dahulu saya tahu ibu bukan sahaja pandai menganyam atap tetapi ibu juga mahir menganyam tikar mengkuang dan bakul.

Projek membuat rumah di lakukan ayah dan saya serta dibantu oleh abang-abang sewaktu mereka tidak bekerja atau sewaktu petang balik dari bekerja. Kerja menyiapkannya selesai dalam masa satu bulan setengah. Kerja membina ini berjalan agak lambat dan sering tergendala kerana tidak cukup paku.

Saya amat kagum dengan kekuatan dan ketekunan kerja yang ayah dan ibu lakukan. Mereka akan tekun melakukannya selagi belum dihabiskan. Selain itu ayah pandai menjangka dan jangkaan inilah yang menyebabkan beliau melakukan dan membuat tindakan dengan betul. Banyak perkara yang diputuskan saya lihat memiliki ciri-ciri tuntutan masa depan. Memandangkan persekitaran yang ada pada waktu itu begitu rupa jadilah beliau petani, tetapi petani yang ada meninggalkah harta untuk kesemua anak-anaknya. Ayah telah meninggalkan kami semua pada bulan Mac 1983 pada usia 77 tahun. Pada waktu saya berada di Kemaman, Terengganu mengikuti projek bancian tanah dan harta oleh Pusat Penyelidikan UKM. Bancian dilakukan kerana kawasan tanah di perkampungan Teluk Mengkuang akan dimajukan untuk Industri Besi dan projek Petrokimia. Sewaktu berita kewafatan ayah, saya sedang berada di laut Paka, juga di Terengganu kerana melakukan kereja penyelidikan tentang kemiskinan nelayan. Kajian kemiskinan nelayan ini dilakukan bagi melengkapkan kajian yang terdahulu yang dilakukan oleh Dr. Sanusi Osman.

Berita kemangkatan ayah saya hanya dapat tahu dari mulut Dr. Sanusi sebelah petang setelah saya sampai ke jeti Paka, balik dari mengikut nelayan menangkap ikan di laut. Mendengar berita tersebut hati terasa sedih dan pilu, tetapi saya diam sahaja. Pada waktu itu saya tidak boleh berbuat apa, hari sudah malam, tidak memiliki duit, apatah lagi wang untuk tambang balik ke Johor. Apa yang terdaya hanyalah membaca al-fatihah untuk disedekahkan kepada roh ayah. Dr. Sanusi Osman menyuruh saya balik ke bilik hotel Sangbuana berkemas untuk balik. Rupanya beliau telah berusaha mendapatkan sebuat teksi dan kemudiannya memberi sejumlah wang untuk tambang saya balik menziarah arwah ayah di Johor.

Dalam perjalanan balik ke Johor saya singgah mengambil isteri dan empat orang anak saya untuk turut dibawa balik ke Johor. Walaupun dalam kesedihan, dapat balik ke Johor bersama keluarga dengan menaiki teksi adalah pengalaman pertama yang sangat membanggakan.

Sampai ke Johor telah terlewat dua hari, jadi saya bawa isteri dan anak-anak untuk ziarah ke pusara ayah. Saya berterima kasih khusus kepada Dr. Sanusi yang membiayai kesemua tambang dan kepada pemandu teksi yang membawa saya dari Kemaman sampai ke Simpang Renggam. Wassalam.

Isnin, 25 Mei 2009

KOMUNIS dan SOSIALIS YANG MENYIKSAKAN

Siapa yang tidak kenal komunis? Secara mudah adik-beradik kepada komunis ialah sosialis dan abang sulungnya adalah utopia. Kesemuanya mempercayai bahawa untuk mengejar masyarakat bahagia ialah dengan cara mengamalkan prinsip atau ideologi sama rasa sama rata. Menurut kitab pendidikan mereka, semua orang yang berstatus manusia tidak boleh mendapat atau memiliki perbezaan terutama perbezaan material.


Ideologi komunis atau sosialis percaya segala bentuk perbezaan dihentikan. Idea ini diceduk dari ideologi utopia yang mahukan rakyat sesebuah negara itu tidak dibenarkan memiliki sebarang kelainan atau kelebihan misalnya dalam berpakaian, diwajibkan hanya berwarna putih sahaja, berwarna selain dari putih adalah dilarang. Kesannya sangat banyak antaranya ia akan menghilang atau menghapus kreativiti, menafikan intelektual, kebolehan, keupayaan, kesaksamaan, darjat (makham) dan lain-lain lagi. Kehendak ini sangat bertentangan dengan naluri dan kebolehan manusia dan seterusnya sangat bertentangan dengan hukum agama terutamanya hukum agama Islam yang memberi kebebasan kepada individu selagi tingkah laku dan perbuatan yang dilakukan itu tidak bercangah dengan hukum tuhan iaitu wajib, sunnah, harus, makruh dan haram.


Menyedari bahawa agama terutama agama Islam sebagai benteng atau tembok penghalang yang menyekat dari berkembangannya fahaman memuja dan menyembah akal fikiran semata dan mengetepikan nilai agama yang mempercayai ketuhanan, maka tindak-tanduk memerangi agama tidak pernah mereka hentikan. Sebab itu didapati semenjak dari dahulu lagi utopia, komunis mahupun sosialis tanpa berhenti terus memerangi agama khususnya Islam. Cuma perlu disedari kewujudan dahagakan keseronokan, ada masanya berwajah liberal, demokrasi, pencinta alam, pembela masyarakat miskin dan sebagainya. Untuk mengenalinya sangat memerlukan pengawasan atau observasi yang mendalam, teratur dan rapi. Antara formula mudah untuk mengenalinya ialah cuba kita lihatdan percayakah mereka dengan Allah. Solatkah mereka jika mereka Islam dan sembahyangkah mereka jika bukan Islam.

Mengenali mereka yang benar-benar totok komunis, autophia atau sosialis adalah agak mudah, tetapi yang agak susah ialah mengenali golongan yang telah dipengaruhi atau baru dipengaruhi. Biasanya golongan yang baru mula dipengaruhi mereka sedar dengan helah taktik kumpulan ini, kerana golongan baru yang dipengaruhi itu sendiri tidak pernah belajar mengenai perjuangan sosialis. Oleh itu para pejuang terutamanya pejuang agama merasakan ajakan kawan yang berjuang atas dasar bersepakat membela rakyat dianggap ini satu pendekatan baru oleh para pejuang terutama para pejuang politik.

Sebab itu akhir-akhir ini didapati ada pejuang agama tidak kira dari penganut agama mana termasuk yang beragama Islam dengan tanpa malu turut turun melakukan demonsterasi jalanan. Tindakan tersebut didakwanya sebagai memenuhi tuntutan demokrasi. Tuntutan demokrasi benar boleh berarak, tetapi biasanya dilakukan dengan aman, tertib dan bermoral. Tetapi bukan mengganas, merosak dan memporak-perandakan masyarakat. Tindakan memporak-perandakan masyarakat yang sedemikian itu adalah sama dengan apa yang pernah dilakukan oleh Karl Mark, Henry Hegal, Mo Tze Tong, Chin Ping, Rashid Maidin, Ramasami dan yang berlaku sekarang ini adalah model Korea Utara yang terus-terusan melakukan ujian nuklear bawah tanah semalam. Walaupun dunia mengisthar bahawa bom berkenaan adalah diharamkan. Korea Utara sangup berbelanja berbellion ringgit untuk memperbesar senjata nuklear untuk tujuan apa? Kalau wangnya lebih, negaranya kaya, rakyatnya senang makan, pakaian dan keselamatan tidak apa. Rakyatnya miskin , ada banyak yang kebuluran, kurang zat makanan dan ironiknya terus cuba bermusuhan dengan saudaranya sendiri iaitu Korea Selatan. Kalau saudaranya sendiri pun tidak sangup berbaik-baik sebaliknya sanggup bermusuhan apatah lagi dengan orang dan bangsa lain. Ini semua terjadi adalah disebabkan mereka telah termakan dengan hasutan Ideologi Komunis dan sosialis ciptaan manusia.


Kalau ada orang mengatakan sekarang ini mana ada komunis dan sosialis. Ideologi inikan sudah luput dari muka bumi seperti luput dan runtuhnya tembok Berlin yang memisahkan antara Jerman Timur dan Jerman Barat. Itu adalah anggapan yang silap dan tidak benar. Cuba kita lihat hari ini banyak ciri-ciri dan unsur-unsur komunis dan sosialis berlaku dimana-mana sahaja secara terang-terang bezanya ia berlaku dalam bentuk yang berbeza tetapi asasnya perjuangkan konflik komunis dan sosialis tetap diteruskan. Contohnya jika dahulu komunis berperang merosakkan anggota polis dan balai polis, askar dan kem-kem askar, keadaan yang hampir sama berlaku sekarang. Polis diserang dengan berbagai tomahan dengan mencipta dan menyebar prejudis terhadap polis tanpa belas kasihan, pegawai askar dalam blok tertentu cuba diheret ke dalam isu dan pakatan jenayah, institusi hakim dikecam dengan begitu rupa dan hanya dipuji jika memihak kepada mereka.


Institusi perundangan sama ada perlimen atau dewan undangan negeri dijadikan tempat berkelahi, maki hamun, mengeluarkan bahasa yang kesat. Yang amat menyedihkan perlembagaan sudah tidak dipedulikan dan dilangar bontang. Kelompok yang cuba mempertahankan perlembagaan dikeji, dicaci, dimaki-hamun sehingga hilang upaya untuk mempertahankannya, dan perbuatan menghapuskan keamana,kesejetheraan dan kedamaian dirasai oleh sesetengah pihak sebagai satu kejayaan. Mereka memanggil ramai orang untuk turut sama meraikan kemenangan sorak walaupun mereka sebenarnya sedar bahawa kampungnya, negerinya dan bangsanya akan tergadai. Orang -orang agama, institusi agama dan termasuk ulama besar dipelekeh, sedirit pun mereka tidak terasa tersinggong , malah mereka ramai-ramai turut sama memperlekeh dan mencaci-maki serta memperbodohkannya pula. Apa sudah jadi, apa sudah kena dan mengapa begini?

Tabiat utama komunis dan sosialis walau di mana sekalipun tetap akan meruntuhkan raja atau sultan yang mererintah, carilah di mana di China,Russia ,Viatnam,Kampuca,laos,Poland,Cuba dan di mana sahaja. Sejarah perjalanan Islam amat berbeza, kebanyakan menegakkan khalifah dan Kesultanan.Jarang jika sultan atau raja yang baik dan adil cuba ditumbangkan. Ini kerana rakyat Islam tidak tamah kuasa,redza apa sahaja jika dibenarkan rakyat melaksanakan ajaran Islam. Tetapi tidak pada sosialis atau komunis ,raja atau sultan sama ada baik atau tidak tetap akan diserang dan dijatuhkan. Persoalannya mengapa berlaku sedemikian rupa. Puncanya iaitu di mana-mana dan pada bila-bila masa sahaja ketua komunis atau sisiaalis tetap bercita-cita untuk memerintah dan berkuasa. Mengambil alih kuasa dengan apa sahaja jalan termasuk dengan kekerasan baginya sangat perlu dilakukan sehingga kalau boleh berlaku konfliks , revolusi dan peperangan saudara, malah digalakkan sehingga sampai membunuh saudara mara kandung dan saudara seagama. Takkanlah di negeri yang sultannya bekas ketua hakim negara yang diakui oleh tuan mufti rajanya adil,perlu ditaat, tapi maseh lagi dipertikai sehingga berlaku gundah gulana.

Pada zaman darurat membakar kedai,walaupun dikedai itulah orang ramai membeli keperluan, membakar kereta, keretapi dan bas walaupun kenderaan itulaah tempat orang ramai menumpang perjalanan,membakar rumah walhal di situ adalah tempat masyarakat berteduh,membunuh sakar dan polis walaupun semua orang percaya bahawa kedua unit tersebut tempat orang meletakan keyakinan untuk menjaga keselamatan diri,keluarga dan negara,membunuh ustaz biar pun ustaz adalah tempat orang belajar agama bagi membawa manusia kesyurga insallah, menakut-menakutkan orang ramai, walhal sepatutnya kita menolong mengembirakan,menyiksa dan membunuh walhal perbuatan tersebut adalah sangat terkutuk disisi agama, tetapi mereka semua tidak kisah asalkan cita-cita untuk berkuasa dan memerintah tercapai dan itulah sumpah perjuangan sosialis dan komunis.

Dinding kaca pernah terlibat sebagai anggota pasukan keselamatan iaitu menganggotai pasokan polis hutan 69. Ramai rakan-rakan kami terkorban akibat serang hendap dan jerangkap samar komunis .Ada peristiwa rakan saya di kem PPH jalan pekeliling sedang berbaris meninggal akibat di limpar bom,Timbalan Ketua Polis Negara di bunuh di Kuala Lumpur sewaktu pergi bekerja, ramai hasil usaha kerja petani seperti beras,ayam,sayur dan lain-lain dirampas dan petani dipaksa untuk memenuhi keperluan makanan mereka walaupun mereka sedar bahawa anak-anak petani sedang menangis kelaparan di rumahnya. Yang penting bagi Komunis dan Sosialis ialah perjuangan untuk mencapai cita-cita berkuasa dan memerintah.

Pagi ini saya pergi kesalah sekolah rendah,bertemu dengan guru penolong kanan , beliau bertanya kepada saya ada datang malam tadi ada dengar ceramah saudara Anwar Ibrahim di Senai.Saya rasa pelik mengapa chegu tersebut panggil dia dengan pangilan saudara, walhal guru tersebut sebelumnya tidak pernah memyebut demikian.. Malah beliau bukan seorang yang berkelulusan universiti. Sebutan saudara semasa tahun 1970 an dan 1980 an melambangkan sangat populer di universiti kerana setia kawan sosialis yang dipengaruhi oleh tradisi Indosesia . pada wakut itu kampun sangat kuat dipengaruhi oleh pahaman komunis dan sosialis. Pada waktu dahulu untuk membezakan Anwar dan golongannya ialah pangilan Habib,tuan sheikh,ada ,anta, Allah wakhbar,takbir,usrah,jemaah, insan kamil,ulul ahbab,anak solih, Abim, dan sebagainya. Menakala saya,awak,kamu ini kumpulan nasional. Apabila saya sudah lama tidak berjuma beliau adakah maseh ada lagi ungkapan tersebut diucapkan. kalau ada dimanakah dipertuturkan,kepada golongan mana dipertuturkan dan kepada golongan mana pula disembunyikan.

Dari hujah-hujah di atas dinding kaca agak yakin fahaman komunis dan sosialis telah meresap jauh ke dalam berbagai pertubuhan . Kini ideologi ini kalau tidak disekat akan menyibar,menyerap ,merayap dan virusnya akan memusnahkan institusi raja, bangsa,negara dan agama Islam.

Isu Chen Ping.

Isu ChenPing untuk diampun dan dibenarkan dibawa balik ke Malaysia. Pendapat saya permintaan atau cadangan tersebut adalah tidak elok. Saya tidak melihat dan menilai tentang badannya. tetapi yang harusa kita fikirkan ialah penyibaran ideologinya. Ideologinya tentang hubungan kemanusiaan,hubungan dengan kuasa dan pemerintahan,dengan pemerintah beraja,dengan pasukan keselamatan sama ada polis atau askar,hubungan terguris dengan petani dan yang penting hubungan beliau dengan tuhan tetap kekal sama. Membawa balik Chen Ping bermakna membawa lambang dan simbul permusuhan serta konfliks antara etnik, kelas dan ketuhanan. Konfliks hubungan ini kesannya amat dasyat,mengerunkan dan tanpa penghujung selagi kita tidak tunduk dan patuh bertohankan mereka. Wassala,

Khamis, 21 Mei 2009

Mengimbau kebelakang dua

Saya mengambil peperiksaan darjah enam di Sek. Keb. Sri Gading. Murid-murid dari sekolah sekitarnya mengambil peperiksaan di sekolah tersebut. Saya tidak pernah menunggang basikal sendiri. Oleh itu arwah ayah hantar saya ke sekolah pusat peperiksaan sejauh 6 batu dari rumah dengan menyeberangi sungai Batu Pahat dengan menaiki sampan tambangnya RM 0.10 seperjalanan melintas sungai. Dalam perjalanan ke pusat peperiksaan yang dibonceng oleh ayah, inilah buat kali pertama ayah bertanyakan tentang pelajaran dan pekerjaan masa depan saya. Tanyanya besok besar nak kerja apa? Saya jawab ringkas hendak jadi lawyer (peguam). Saya toleh dan tengok muka ayah, beliau tersenyum sambil mengenggam kuat tangan saya. Saya harungi peperiksaan tersebut dengan lebih yakin dan tabah.


Saya telah didapati lulus peperikaan darjah enam. Bolehlah meneruskan persekolahan tingkatan satu di Sekolah Menengah Dato' Bentara Luar, Batu Pahat. Pada waktu itu saya kagum melihat besar dan luasnya kawasan sekolah tersebut. Muridnya cukup ramai dan pakaiannya bersih-bersih belaka. Baju sekolah berwarna putih dan seluar pendek berwarna hijau lumut. Pada waktu itu saya terasa sangat kerdil dalam komuniti sekolah yang begitu besar. Guru besarnya bernama Zainal Abidin Thambi, penolongnya bernama Razak Raus, guru-guru yang mengajar saya antaranya ialah Ali Ahmad, Ismail Ahmad, Yusof Mola-Mola, Rohana Hamadun , Elias , Saedah dan Syed Abu Aman. Saya nampak banyak kelainan antara guru-guru yang mengajar di SDBL dengan Sekolah Keb. Sri. Bengkal. Guru-guru di SDBL kemas, segak dan ada aura pendidik. Saya sangat suka bersekolah, tetapi disebabkan kesusahan dan kemiskinan yang amat sangat saya terpaksa berhenti sekolah sebaik naik ke tingkatan dua. Sewaktu di SDBL ada kawan sekelas yang saya masih ingat, tetapi tidak pernah bertemu muka dengan mereka. Antara yang masih saya ingat ialah Ramli Hj. Rashid, Zakaria, Jumain Hj. Yusof, Md. Nor Hj. Abul Ibrahim. Hj. Ahmad Iskandar beliau cacat, kakinya tempang dan inilah kawan saya yang sangat rapat. Manakala orang yang tidak begitu baik dengan saya ialah Sinong bin Pabit. Pernah suatu hari beliau bawa pisau kerambit ke sekolah dan tunjukkan kepada saya sambil mengancam. Mulai hari itu saya tidak lagi rapat hubungannya dengan mereka.


Mengapa Saya Berhenti.

Semasa saya ditingkatan dua, tinggal bersama kakak dan abang ipar di kampung Parit Senah, Prit Yaani, Batu Pahat. Jarak tempat tinggal dengan sekolah kira-kira 17 batu. Saya ke sekolah dengan menaiki basikal yang saya pinjam dari abang ipar. Basikal itulah juga yang digunakan untuk pergi kerja. Apabila saya gunakan basikal tersebut dia terpaksa pergi balik kerja dengan berjalan kaki. Jarak rumah dengan tempat kerjanya kira-kira 2.5 batu. Pada hari Jumaat dan Sabtu (cuti minggu) saya menolong kakak menoreh getah dan ambil upah potong anak kayu di hutan untuk dijadikan junjung atau lilitan kacang. Pada sebelah petang selepas balik sekolah saya akan melakukan tugas menjaga kambing. Sewaktu tugas menjaga kambing, saya ikat kambing jantan besar di pangkal sepohon kelapa yang berumput subur. Sangkaan saya ikatan tersebut cukup kuat. Setelah diikat saya bersama anak-anak saudara saya Maulan, Mastar dan Mahat pergi ke sungai melihat orang menjala, jaring dan sauk ikan keli di jambatan Parit Yaton. Sekembali dari situ saya dapati kambing tersebut sudah tiada ditempatnya. Saya terperanjat, takut dan rasa risau, tapi tak lama kemudian dengar bunyi kambing mengembek tidak jauh dari situ, lalu saya berlari mencarinya.


Didapati kaki belakang kambing jantan tersebut telah putus ditetak orang. Agaknya kambing tersebut ditetak kerana telah masuk ke kebun ubi orang. Dari peristiwa tersebut saya sangat takut untuk berhadapan realiti yang berlaku kerana kecuaian tersebut. Saya takut berhadapan dengan abang ipar walaupun orangnya sememangnya baik. Dengan kecuaian tersebut tentunya beliau menanggung kerugian. Inilah yang tidak dapat saya lupakan dibenak pemikiran waktu itu, lalu saya mengambil keputusan untuk balik kerumah ibu-bapa di Simpang Ranggam. Tekat saya pada waktu itu makan tak makan saya tetap tinggal bersama mereka.

Sebelum peristiwa tersebut, ada lagi satu peristiwa yang sangat besar mempengaruhi tindakan saya untuk berhenti sekolah. Pada waktu itu sangat ramai orang di Malaysia mengidap penyakit Malaria yang dibawa dan dibiakkan oleh nyamuk Tiruk. Saya tidak tahu dimana hendak dapatkan ubat rawatan penyakit tersebut sewaktu bersekolah. Jika saya demam sewaktu di sekolah guru yang mengajar waktu suruh saya balik. Mereka tidak ambil tahu sama ada rumah saya jauh atau dekat atau saya naik bas, naik basikal atau jalan kaki. Tugas guru hanya benarkan kita balik dan seingat saya tidak pernah sakit saya dirujuk ke hospital walaupun hospital sebenarnya sangat dekat dengan sekolah. Seingat saya, rakan-rakan yang sakit kerana luka dan berdarah sahaja yang dihantar untuk rujukan hospital. Ini mungkin yang menyebabkan saya terasa diberi layalan berbeza (diskriminasi) maklumlah hati seorang kanak-kanak. Saya hanya dapat berkesempatan untuk mendapatkan rawatan penyakit tersebut di Simpang Renggam iaitu setelah saya berhenti sekolah dan mengikut ayah saya di sana. Saya amat berterima kasih kepada pusat kesihatan Simpang Ranggam yang telah banyak menolong saya dan keluarga serta orang lain, kerana waktu itu disekitar tahun 1960-an penyakit Malaria merupakan semacam wabak dan ia berjangkit dari seorang ke seorang lain akibat bawaan dibawa nyamok Tiruk. Oleh sebab deman sakit Malaria berlaku selang sehari, jadi saya hadir sekolah juga selang sehari. Pada suatu hari sewaktu di sekolah saya terasa demam Malaria datang semula menyerang (mengigil) saya beritahu guru kelas dan beliau suruh saya baik (bukan dirujuk ke hospital) saya terpaksa balik dengan mengayuh basikal yang jaraknya lebih dari 18 batu (kira-kira 30 KM) dari sekolah.


Disebabkan tidak tahan dengan deman, saya mengambil keputusan untuk berteduh di bawah pokok Halban di puncak Bukit Belah iaitu sebelum sampai ke Simpang Sri Medan kerana terlalu tidak tahan sakit, saya letakkan basikan bersama buku sekolah saya ditepi kaki lima jalan yang berturap tanah merah. Sewaktu saya letakkan basikal tersebut cuaca panas terik ,tetapi dengan tidak disedari ditengah hari itu hujan telah turun dengan lebatnya. Kerana terlalu demam saya terlupa tentang basikal yang berisi buku dan setelah teringat saya tidak terdaya untuk mengalihkan basikal tersebut ke kawasan teduh dipangkal pokok. Hujan yang turun dengan lebatnya itu telah menjadikan tanah menjadi lembut dan tongkat basikal tidak dapat bertahan lalu basikal tersebut tumbang. Rupa-rupanya basikal bersama beg sekolah yang mengandungi buku-buku sekolah telah tumbang ke dalam alur yang dipenuhi dengan air hujan berlumpur. Buku-buku sekolah saya habis basah, kotor dan rosak. Dari peristiwa tersebut saya sangat takut untuk ke sekolah. Walaupun saya ada jawapan jika ditanya mengapa buku-buku saya menjadi begitu, tetapi kerana ada perasaan telah didiskriminasi oleh sekolah sebagaimana yang saya ceritakan diatas saya tidak percaya jawapan yang saya beri nanti boleh diterima oleh guru-guru saya. Pernah di satu hari, saya lambat sampai kesekolah kerana tiub tayar basikal yang saya tunggang meletup sewaktu perjalanan ke sekolah, guru pun tidak percaya dan saya masih terus menerima hukuman. Untuk pengetahuan para pembaca, tayar basikal saya meletup sewaktu sampai simpang Jalan Bakau Condong, saya terpaksa sorong basikal tersebut ke kedai basikal di simpang Jalan Limpon. Kerana saya tidak membawa duit, saya letakkan buku sains amali yang dilihat oleh taukeh kedai berharga dan setimpal dengan harga sebuah tayar basikal dikedai tersebut sebagai cagaran atau jaminan. Kebetulan pada hari tersebut ada pengajaran sains hayat di lab (makmal), jadi apabila cikgu Alias yang mengajar subjek tersebut dapati saya tidak bawa buku kerja sains sebagaimana yang sepatutnya, beliau sangat marah lalu melempang saya berulang-ulang kali. Pukulan tersebut terlalu kuat dan sangat menyakitkan. Saya terasa mata saya berpinar dan kepala saya pening. Saya tersepuk dilantai simen di lab SDBL.


Ini jugalah antara punca-punca yang menyebabkan saya membuat keputusan untuk berhenti sekolah. Peristiwa ini sehingga sekarang saya tidak beritahu sesiapa, walaupun kakak saya sendiri yang rumahnya saya tumpangi pernah bertanya, mengapa pipi adik berbekas tapak tangan dan merah kiri-kanan. Saya hanya diam sahaja. Peristiwa tersebut hanya mengimbau kenangan lampau dan sehingga sekarang ini saya sedikit pun tidak berdendam kepada guru tersebut. Sekiranya beliau masih hidup saya doakan beliau sihat, panjang umur dan hidup berbahagia dunia dan akhirat dan sekiranya beliau telah meninggal dunia saya dengan lapang dada sedekahkan al-fatihah dan berdoa semoga rohnya ditempatkan kedalam syurga bersama orang-orang yang beriman. Pernah pada satu hari setelah saya menjadi pegawai polis dan datang ke sekolah SDBL berhajat untuk bertemu beliau, tetapi dikhabarkan beliau telah berpindah kerja menjadi pegawai tentera sehingga coretan ini ditulis saya tidak lagi pernah berjumpa beliau.


Untuk makluman pembaca bahawa pada usia 12-13 tahun saya terpaksa pergi sekolah mengayuh basikal sejauh 38 batu atau lebih 60 KM sehari untuk pergi dan balik ke sekolah. Ada kawan tetapi bilangan mereka tidak ramai dan mereka adalah murid dari tingkatan yang lebih atas. Kebanyakan mereka naik bas atau kereta sewa bayar RM 18 sebulan. Keluarga saya tidak mampu malah pergi sekolah saya pun tidak pernah bawa duit, walaupun saya sangat mengidam untuk makan mee gorong belacan yang dikedai kantin Ah Kaw di sekolah SDBL. Nasib baik saya berkawan dengan Iskandar yang kakinya dengkot/tempang (bukan untuk mengejek), beliau orang yang baik hati, saban hari bawa bekal besar, nasi lauk ikan atau daging ayam bungkus upih. Waktu rehat beliau ajak saya ke tali air bersimen, airnya jernih dan arusnya laju, kami berdua duduk ditebing sambil sambil buka kasut dan juntaikan kedua-dua kaki ke dalam air. Dari kelas ke tempat tersebut saya pegang tangan beliau (papah) dan jalan bersama-sama. Semenjak saya berhenti sekolah pada tahun 1964 sehingga sekarang saya tidak pernah berjumpa beliau walau telah kerap kali saya cuba usahakan untuk bertemu beliau.


Pada usia yang muda dan fizikal sekecil itu (masa kanak-kanak badan saya kecil) memang terasa sangat menyeksakan untuk saya mengayuh basikal berulang-alik ke sekolah. Saya keluar rumah jam 5 pagi setiap hari. Waktu itu hanya pakai seluar pendek, cuaca dan udara pula sangat dingin. Kalau sampai sekolah jam tujuh pagi dan selepas setengah jam kemudiaan saya masih menggigil tanda kesejukan.

Di SDBL saya hanya belajar sampai awal tingkatan dua. Guru kelas waktu itu cikgu Ismail Haji Ahmad. Orangnya hitam manis, rendah-rendah, manis paras rupa, perwatakan menarik dan baik hati. Guru-guru lainnya nampak garang-garang dan ada yang tunjuk eksyen, tetapi cikgu Ismail ini natural dan selamba sahaja hidup dan gayanya. Pernah satu hari beliau pelawa saya untuk tinggal bersamanya, tetapi disebabkan wujud sikap imperioriti kompleks, saya yang memandangnya terlalu tinggi dan saya terasa terlalu rendah, saya tolak pelawaan tersebut.


Pada waktu itu apa yang main dalam fikiran ialah saya tidak pandai makan dengan sudu garfu, tak tahu makan atas meja, takut kena ganti jika pinggan atau cawan pecah dan lain-lain lagi. Kerana dirumah saya hanya makan dengan dulang bersama-sama adik-beradik atau makan dengan pinggan zink, atau makan atas upih. Teringat juga bagaimana hendak mandi dengan air paip dan buang air dengan mangkok tandas atau jamban pam. Sedangkan apa yang menjadi kebiasaan saya ialah mandi di kolam atau di sungai dan buang air besar di jambatan atau belakang rumah. Dengan pelawaan tersebut saya terasa benar tentang kebaikkan cikgu Ismail. Dan saya tidak lupa sampai sekarang . Dikatakan terus terang saya terpengaruh dengan gaya dan sikapnya.


Kebaikkan cikgu Ismail ini kepada saya ialah, setelah saya berhenti sekolah secara senyap-senyap, saya pindah ikut ibu dan ayah saya ke Simpang Renggam, tak lama lepas itu cikgu Ismail bersama-sama Yusof Muhammad (guru Matematik) dan cikgu Razak Raus, Guru Besar datang kerumah saya di Simpang Renggam. Apabila saya nampak kereta cikgu Ismail Ahmad berjenama Mazda 202 bernombor JB 504 datang kerumah saya malu dan lari ke belakang rumah. Mereka jumpa ibu saya kerana kebetulan hanya ibu yang ada dirumah ketika itu. Kedatangan guru-guru tersebut adalah untuk pujuk saya sekolah semula. Mula-mula ada keinginan saya untuk setuju setelah dipujuk dan untuk tinggal dirumah cikgu Ismail, tetapi kemudiannya saya tolah kerana faktor yang sebutkan diatas. Tentunya ketiga-tiga mereka balik dengan hampa. Saya dapat tahu cikgu Abd.Razak Raus telah meninggal dunia diSabah sewaktu beliau bertugas sebagai peguam disana. Cikgu Yusof meninggal dunia sakit tua dan saya tidak dapat khabar tentang cikgu Ismail Haji Ahmad. Khabarnya beliau bersara dan tinggal di Simpang Lima, Bagan. Setelah saya cari beberapa kali, saya masih tidak dapat bertemu dengannya, Saya senantiasa mendoakan kesemuanya senantiasa berada dalam kerahmatan Allah s.w.t. Wassalam .