Saya mengambil peperiksaan darjah enam di Sek. Keb. Sri Gading. Murid-murid dari sekolah sekitarnya mengambil peperiksaan di sekolah tersebut. Saya tidak pernah menunggang basikal sendiri. Oleh itu arwah ayah hantar saya ke sekolah pusat peperiksaan sejauh 6 batu dari rumah dengan menyeberangi sungai Batu Pahat dengan menaiki sampan tambangnya RM 0.10 seperjalanan melintas sungai. Dalam perjalanan ke pusat peperiksaan yang dibonceng oleh ayah, inilah buat kali pertama ayah bertanyakan tentang pelajaran dan pekerjaan masa depan saya. Tanyanya besok besar nak kerja apa? Saya jawab ringkas hendak jadi lawyer (peguam). Saya toleh dan tengok muka ayah, beliau tersenyum sambil mengenggam kuat tangan saya. Saya harungi peperiksaan tersebut dengan lebih yakin dan tabah.
Saya telah didapati lulus peperikaan darjah enam. Bolehlah meneruskan persekolahan tingkatan satu di Sekolah Menengah Dato' Bentara Luar, Batu Pahat. Pada waktu itu saya kagum melihat besar dan luasnya kawasan sekolah tersebut. Muridnya cukup ramai dan pakaiannya bersih-bersih belaka. Baju sekolah berwarna putih dan seluar pendek berwarna hijau lumut. Pada waktu itu saya terasa sangat kerdil dalam komuniti sekolah yang begitu besar. Guru besarnya bernama Zainal Abidin Thambi, penolongnya bernama Razak Raus, guru-guru yang mengajar saya antaranya ialah Ali Ahmad, Ismail Ahmad, Yusof Mola-Mola, Rohana Hamadun , Elias , Saedah dan Syed Abu Aman. Saya nampak banyak kelainan antara guru-guru yang mengajar di SDBL dengan Sekolah Keb. Sri. Bengkal. Guru-guru di SDBL kemas, segak dan ada aura pendidik. Saya sangat suka bersekolah, tetapi disebabkan kesusahan dan kemiskinan yang amat sangat saya terpaksa berhenti sekolah sebaik naik ke tingkatan dua. Sewaktu di SDBL ada kawan sekelas yang saya masih ingat, tetapi tidak pernah bertemu muka dengan mereka. Antara yang masih saya ingat ialah Ramli Hj. Rashid, Zakaria, Jumain Hj. Yusof, Md. Nor Hj. Abul Ibrahim. Hj. Ahmad Iskandar beliau cacat, kakinya tempang dan inilah kawan saya yang sangat rapat. Manakala orang yang tidak begitu baik dengan saya ialah Sinong bin Pabit. Pernah suatu hari beliau bawa pisau kerambit ke sekolah dan tunjukkan kepada saya sambil mengancam. Mulai hari itu saya tidak lagi rapat hubungannya dengan mereka.
Mengapa Saya Berhenti.
Semasa saya ditingkatan dua, tinggal bersama kakak dan abang ipar di kampung Parit Senah, Prit Yaani, Batu Pahat. Jarak tempat tinggal dengan sekolah kira-kira 17 batu. Saya ke sekolah dengan menaiki basikal yang saya pinjam dari abang ipar. Basikal itulah juga yang digunakan untuk pergi kerja. Apabila saya gunakan basikal tersebut dia terpaksa pergi balik kerja dengan berjalan kaki. Jarak rumah dengan tempat kerjanya kira-kira 2.5 batu. Pada hari Jumaat dan Sabtu (cuti minggu) saya menolong kakak menoreh getah dan ambil upah potong anak kayu di hutan untuk dijadikan junjung atau lilitan kacang. Pada sebelah petang selepas balik sekolah saya akan melakukan tugas menjaga kambing. Sewaktu tugas menjaga kambing, saya ikat kambing jantan besar di pangkal sepohon kelapa yang berumput subur. Sangkaan saya ikatan tersebut cukup kuat. Setelah diikat saya bersama anak-anak saudara saya Maulan, Mastar dan Mahat pergi ke sungai melihat orang menjala, jaring dan sauk ikan keli di jambatan Parit Yaton. Sekembali dari situ saya dapati kambing tersebut sudah tiada ditempatnya. Saya terperanjat, takut dan rasa risau, tapi tak lama kemudian dengar bunyi kambing mengembek tidak jauh dari situ, lalu saya berlari mencarinya.
Didapati kaki belakang kambing jantan tersebut telah putus ditetak orang. Agaknya kambing tersebut ditetak kerana telah masuk ke kebun ubi orang. Dari peristiwa tersebut saya sangat takut untuk berhadapan realiti yang berlaku kerana kecuaian tersebut. Saya takut berhadapan dengan abang ipar walaupun orangnya sememangnya baik. Dengan kecuaian tersebut tentunya beliau menanggung kerugian. Inilah yang tidak dapat saya lupakan dibenak pemikiran waktu itu, lalu saya mengambil keputusan untuk balik kerumah ibu-bapa di Simpang Ranggam. Tekat saya pada waktu itu makan tak makan saya tetap tinggal bersama mereka.
Sebelum peristiwa tersebut, ada lagi satu peristiwa yang sangat besar mempengaruhi tindakan saya untuk berhenti sekolah. Pada waktu itu sangat ramai orang di Malaysia mengidap penyakit Malaria yang dibawa dan dibiakkan oleh nyamuk Tiruk. Saya tidak tahu dimana hendak dapatkan ubat rawatan penyakit tersebut sewaktu bersekolah. Jika saya demam sewaktu di sekolah guru yang mengajar waktu suruh saya balik. Mereka tidak ambil tahu sama ada rumah saya jauh atau dekat atau saya naik bas, naik basikal atau jalan kaki. Tugas guru hanya benarkan kita balik dan seingat saya tidak pernah sakit saya dirujuk ke hospital walaupun hospital sebenarnya sangat dekat dengan sekolah. Seingat saya, rakan-rakan yang sakit kerana luka dan berdarah sahaja yang dihantar untuk rujukan hospital. Ini mungkin yang menyebabkan saya terasa diberi layalan berbeza (diskriminasi) maklumlah hati seorang kanak-kanak. Saya hanya dapat berkesempatan untuk mendapatkan rawatan penyakit tersebut di Simpang Renggam iaitu setelah saya berhenti sekolah dan mengikut ayah saya di sana. Saya amat berterima kasih kepada pusat kesihatan Simpang Ranggam yang telah banyak menolong saya dan keluarga serta orang lain, kerana waktu itu disekitar tahun 1960-an penyakit Malaria merupakan semacam wabak dan ia berjangkit dari seorang ke seorang lain akibat bawaan dibawa nyamok Tiruk. Oleh sebab deman sakit Malaria berlaku selang sehari, jadi saya hadir sekolah juga selang sehari. Pada suatu hari sewaktu di sekolah saya terasa demam Malaria datang semula menyerang (mengigil) saya beritahu guru kelas dan beliau suruh saya baik (bukan dirujuk ke hospital) saya terpaksa balik dengan mengayuh basikal yang jaraknya lebih dari 18 batu (kira-kira 30 KM) dari sekolah.
Disebabkan tidak tahan dengan deman, saya mengambil keputusan untuk berteduh di bawah pokok Halban di puncak Bukit Belah iaitu sebelum sampai ke Simpang Sri Medan kerana terlalu tidak tahan sakit, saya letakkan basikan bersama buku sekolah saya ditepi kaki lima jalan yang berturap tanah merah. Sewaktu saya letakkan basikal tersebut cuaca panas terik ,tetapi dengan tidak disedari ditengah hari itu hujan telah turun dengan lebatnya. Kerana terlalu demam saya terlupa tentang basikal yang berisi buku dan setelah teringat saya tidak terdaya untuk mengalihkan basikal tersebut ke kawasan teduh dipangkal pokok. Hujan yang turun dengan lebatnya itu telah menjadikan tanah menjadi lembut dan tongkat basikal tidak dapat bertahan lalu basikal tersebut tumbang. Rupa-rupanya basikal bersama beg sekolah yang mengandungi buku-buku sekolah telah tumbang ke dalam alur yang dipenuhi dengan air hujan berlumpur. Buku-buku sekolah saya habis basah, kotor dan rosak. Dari peristiwa tersebut saya sangat takut untuk ke sekolah. Walaupun saya ada jawapan jika ditanya mengapa buku-buku saya menjadi begitu, tetapi kerana ada perasaan telah didiskriminasi oleh sekolah sebagaimana yang saya ceritakan diatas saya tidak percaya jawapan yang saya beri nanti boleh diterima oleh guru-guru saya. Pernah di satu hari, saya lambat sampai kesekolah kerana tiub tayar basikal yang saya tunggang meletup sewaktu perjalanan ke sekolah, guru pun tidak percaya dan saya masih terus menerima hukuman. Untuk pengetahuan para pembaca, tayar basikal saya meletup sewaktu sampai simpang Jalan Bakau Condong, saya terpaksa sorong basikal tersebut ke kedai basikal di simpang Jalan Limpon. Kerana saya tidak membawa duit, saya letakkan buku sains amali yang dilihat oleh taukeh kedai berharga dan setimpal dengan harga sebuah tayar basikal dikedai tersebut sebagai cagaran atau jaminan. Kebetulan pada hari tersebut ada pengajaran sains hayat di lab (makmal), jadi apabila cikgu Alias yang mengajar subjek tersebut dapati saya tidak bawa buku kerja sains sebagaimana yang sepatutnya, beliau sangat marah lalu melempang saya berulang-ulang kali. Pukulan tersebut terlalu kuat dan sangat menyakitkan. Saya terasa mata saya berpinar dan kepala saya pening. Saya tersepuk dilantai simen di lab SDBL.
Ini jugalah antara punca-punca yang menyebabkan saya membuat keputusan untuk berhenti sekolah. Peristiwa ini sehingga sekarang saya tidak beritahu sesiapa, walaupun kakak saya sendiri yang rumahnya saya tumpangi pernah bertanya, mengapa pipi adik berbekas tapak tangan dan merah kiri-kanan. Saya hanya diam sahaja. Peristiwa tersebut hanya mengimbau kenangan lampau dan sehingga sekarang ini saya sedikit pun tidak berdendam kepada guru tersebut. Sekiranya beliau masih hidup saya doakan beliau sihat, panjang umur dan hidup berbahagia dunia dan akhirat dan sekiranya beliau telah meninggal dunia saya dengan lapang dada sedekahkan al-fatihah dan berdoa semoga rohnya ditempatkan kedalam syurga bersama orang-orang yang beriman. Pernah pada satu hari setelah saya menjadi pegawai polis dan datang ke sekolah SDBL berhajat untuk bertemu beliau, tetapi dikhabarkan beliau telah berpindah kerja menjadi pegawai tentera sehingga coretan ini ditulis saya tidak lagi pernah berjumpa beliau.
Untuk makluman pembaca bahawa pada usia 12-13 tahun saya terpaksa pergi sekolah mengayuh basikal sejauh 38 batu atau lebih 60 KM sehari untuk pergi dan balik ke sekolah. Ada kawan tetapi bilangan mereka tidak ramai dan mereka adalah murid dari tingkatan yang lebih atas. Kebanyakan mereka naik bas atau kereta sewa bayar RM 18 sebulan. Keluarga saya tidak mampu malah pergi sekolah saya pun tidak pernah bawa duit, walaupun saya sangat mengidam untuk makan mee gorong belacan yang dikedai kantin Ah Kaw di sekolah SDBL. Nasib baik saya berkawan dengan Iskandar yang kakinya dengkot/tempang (bukan untuk mengejek), beliau orang yang baik hati, saban hari bawa bekal besar, nasi lauk ikan atau daging ayam bungkus upih. Waktu rehat beliau ajak saya ke tali air bersimen, airnya jernih dan arusnya laju, kami berdua duduk ditebing sambil sambil buka kasut dan juntaikan kedua-dua kaki ke dalam air. Dari kelas ke tempat tersebut saya pegang tangan beliau (papah) dan jalan bersama-sama. Semenjak saya berhenti sekolah pada tahun 1964 sehingga sekarang saya tidak pernah berjumpa beliau walau telah kerap kali saya cuba usahakan untuk bertemu beliau.
Pada usia yang muda dan fizikal sekecil itu (masa kanak-kanak badan saya kecil) memang terasa sangat menyeksakan untuk saya mengayuh basikal berulang-alik ke sekolah. Saya keluar rumah jam 5 pagi setiap hari. Waktu itu hanya pakai seluar pendek, cuaca dan udara pula sangat dingin. Kalau sampai sekolah jam tujuh pagi dan selepas setengah jam kemudiaan saya masih menggigil tanda kesejukan.
Di SDBL saya hanya belajar sampai awal tingkatan dua. Guru kelas waktu itu cikgu Ismail Haji Ahmad. Orangnya hitam manis, rendah-rendah, manis paras rupa, perwatakan menarik dan baik hati. Guru-guru lainnya nampak garang-garang dan ada yang tunjuk eksyen, tetapi cikgu Ismail ini natural dan selamba sahaja hidup dan gayanya. Pernah satu hari beliau pelawa saya untuk tinggal bersamanya, tetapi disebabkan wujud sikap imperioriti kompleks, saya yang memandangnya terlalu tinggi dan saya terasa terlalu rendah, saya tolak pelawaan tersebut.
Pada waktu itu apa yang main dalam fikiran ialah saya tidak pandai makan dengan sudu garfu, tak tahu makan atas meja, takut kena ganti jika pinggan atau cawan pecah dan lain-lain lagi. Kerana dirumah saya hanya makan dengan dulang bersama-sama adik-beradik atau makan dengan pinggan zink, atau makan atas upih. Teringat juga bagaimana hendak mandi dengan air paip dan buang air dengan mangkok tandas atau jamban pam. Sedangkan apa yang menjadi kebiasaan saya ialah mandi di kolam atau di sungai dan buang air besar di jambatan atau belakang rumah. Dengan pelawaan tersebut saya terasa benar tentang kebaikkan cikgu Ismail. Dan saya tidak lupa sampai sekarang . Dikatakan terus terang saya terpengaruh dengan gaya dan sikapnya.
Kebaikkan cikgu Ismail ini kepada saya ialah, setelah saya berhenti sekolah secara senyap-senyap, saya pindah ikut ibu dan ayah saya ke Simpang Renggam, tak lama lepas itu cikgu Ismail bersama-sama Yusof Muhammad (guru Matematik) dan cikgu Razak Raus, Guru Besar datang kerumah saya di Simpang Renggam. Apabila saya nampak kereta cikgu Ismail Ahmad berjenama Mazda 202 bernombor JB 504 datang kerumah saya malu dan lari ke belakang rumah. Mereka jumpa ibu saya kerana kebetulan hanya ibu yang ada dirumah ketika itu. Kedatangan guru-guru tersebut adalah untuk pujuk saya sekolah semula. Mula-mula ada keinginan saya untuk setuju setelah dipujuk dan untuk tinggal dirumah cikgu Ismail, tetapi kemudiannya saya tolah kerana faktor yang sebutkan diatas. Tentunya ketiga-tiga mereka balik dengan hampa. Saya dapat tahu cikgu Abd.Razak Raus telah meninggal dunia diSabah sewaktu beliau bertugas sebagai peguam disana. Cikgu Yusof meninggal dunia sakit tua dan saya tidak dapat khabar tentang cikgu Ismail Haji Ahmad. Khabarnya beliau bersara dan tinggal di Simpang Lima, Bagan. Setelah saya cari beberapa kali, saya masih tidak dapat bertemu dengannya, Saya senantiasa mendoakan kesemuanya senantiasa berada dalam kerahmatan Allah s.w.t. Wassalam .
Ayah sedihnya cerita Ayah... :(
BalasPadamkita x merasa susah time skolah kan mity..huwaaa....apatah lagi anak3 skrg..
BalasPadamInsaf baca kisah-kisah pengalaman yg tinggi nilainya, dlm kepayahan mampu berusaha utk lebih berjaya. Kami anak2 muda yg x pernah kenal erti susah yg sebenar, patut lebih bersyukur.
BalasPadamruangan komen untuk berinteraksi dengan penulis blog atau anak penulis blog? hehehe
BalasPadamen morsin, ada berapa siri agaknya Mengimbau Kebelakang ni? lepas ni boleh buat blook. saya nak beli yang bertandatangan ;)