Khamis, 21 Mei 2009

Mengimbau Ke Belakang 1

Aku dilahirkan di Parit Haji Hasan atau PT Ismail atau dikenali juga dengan panggilan Parit Lembut. Datuk lelaki sebelah ayah berasal dari Jepara dan nenek dari Bandong iaitu orang Sunda. Ayah dilahirkan di kampung ini pada 1909. Datuk sebelah ibu bernama Abu Bakar dan nenek bernama Salbiah . Kedua-duanya khabarnya datang dari Bukit Beruang, Melaka. Arwah ibu khabarnya anak Cina diambil dan dijadikan anak angkat oleh arwah datuk. Ibu cukup ternama dalam hal menolong orang terutama mengurut orang patah riuk atau orang bersalin. Kini usaha tersebut diteruskan oleh Abang Ahmad. Tidak kira apa bangsa dan jantina, beliau tidak segan silu menolongnya.

Datuk sebelah bapa dahulunya adalah peniaga kain, tetapi disebabkan oleh perubahan suasana persekitaran akibat pertukaran penjajahan dari Belanda di Indonesia yang memerangi golongan Agama, akhirnya datuk melarikan diri akibat ancaman penjajah Belanda lalu beliau berpindah ke Batu Pahat, Johor. Di Batu Pahat, beliau telah menukar kerjaya dari berniaga kepada membuka penempatan dan kebun . Penempatan ini diberi nama kampung Pt Hj. Hasan. Pada tahun 1950an, datuk meninggal dunia. Sebagaimana perkampungan asal kawasan di Jepara, Indonesia yang semasa lawatan saya ke sana, desanya dipenuhi dengan dusun buah-buahan. Datuk sewaktu membuka perkampungan juga merancang dan mengolah tanamannya juga dengan tanaman dusun buah-buahan. Arwah ayah juga suka menanam pokok buah-buahan dan kini giliran saya mengikut jejak langkah mereka. Tepatlah bak kata pepatah, ke mana tumpah kuah kalau tidak ke nasi.

Arwah ayah yang ada darah keturunan Jepara itu sememangnya pandai bertukang. Beliau boleh buat rumah, buat ukiran kayu, seingat saya ayah boleh buat lesong tumbuk padi, buat tabung buluh, ukiran kerawang, buat sampan atau perahu dan lain-lain. Tetapi tiada seorang pun anak-anaknya yang mengikut jejak langkahnya kecuali seorang cucunya yang bernama Sabtu. Selain itu ramai dari adik-beradik saya yang suka memancing. Mereka memancing tidak kira dimana sahaja sama ada di laut, tasik, sungai atau kolam atau perigi berlayar.

Mengimbau ke belakang, kekampung tempat tumpah darah. Sewaktu saya kecil, kampung tersebut sangat indah dan permai. Paritnya dibuat dengan tangan yang beralatkan cangkul dan dilakukan secara bergotong-royong. Saya tidak bertemu sewaktu sejarah mengalinya, tetapi saya kerap bertemu sewaktu kerja-kerja bergotong royong membersihkannya. Jalannya redup disepanjang masa, kerana dilindungi oleh pohon buah-buahan yang besar-besar batangnya. Saya dan rakan-rakan sebaya bermain permainan seperti gasing, baling kotak rokok, main getah gelang, batu seremban, main galah panjang sama ada sewaktu siang hari atau waktu malam sewaktu tiba bulan Ramadhan.

Hubungan kami dengan rakan-rakan sama ada leleki atau perempuan sangat baik dan mesra, ini kerana semua penduduk kampung tersebut adalah ahli keluarga. Kebanyakan mereka berkahwin saudara sekempung. Tetapi saya berkahwin dengan orang Alor Star bertemu di Kuala Lumpur.

Walaupun kampung saya sanggat indah dipenuhi oleh dusun buah-buahan, namun mata pencarian utama penduduknya ialah menoreh getah. Kebanyakan keluarga hanya memiliki saiz tanah yang sangat kecil. Arwah ayah memiliki satu setengah ekar tanah. Seingat saya hasilnya hanyalah dapat dua keping getah yang beratnya kira-kira tiga (3) kati. Sewaktu komprontasi Malaysia-Indonesia 1965, harga getah sekati hanya RM0.60 sen, tetapi harga gula waktu sekati RM1.50 sen . Menoreh getah sehari hanya boleh beli sekilo gula. Oleh sebab itu, untuk berjimat kita adik-beradik berserta ibu reda hanya arwah ayah sahaja yang minum dulu dan kita lainnya dapat makan manisan dari buah bunga Lemba (tanaman liar seperti pokok kelapa kecil). Buah bunga Lemba itu kita cari dan dapati dibawah pokok-pokok getah liar kebanyakannya ditepi sungai Simpang Kanan, Batu Pahat.


Apa yang lebih memeritkan lagi ialah, apabila Sungai Batu Pahat waktu itu tidak diurus dengan sempurna. Rumputnya bercantum menutup permukaan sungai. Aliran sungai menjadi semakin mengecil, kesannya apabila hujan lebat sahaja banjir kerap berlaku. Banjirnya cukup lama, ada kalanya sehingga mencapai lima hingga enam bulan. Oleh itu, pokok-pokok dusun yang dahulunya sangat bermakna buat kami kanak-kanak kampung itu yang berlari, bermain, berbual-bual dan ada mak cik yang berkesempatan mencari kutu sambil bersembang kini sudah tidak wujud lagi. Tanaman dusun kini hanya tinggal sedikit-sedikit sahaja dan diganti dengan pokok kelapa sawit. Hiruk-pikuk kanak-kanak terutama pada musim cuti sekolah kerana mambawa lastik memburu burung sambil memburu. Kita makan apa sahaja yang terjumpa dari buah jambu batu keras, pisang masak sendiri dipokok, buah kopi masak pada hari biasa dan akan makan buah-buahan seperti rambutan, jambu bol, rambai, pelam dan sebagainya dari mula putik (tidak sempat masak) sehingga musim habis. Kesemua makanan tersebut sedapnya masih terasa sehingga sekarang.


Musim buah-buahan merupakan musim yang sangat ditunggu-tunggu. Bagi kami kanak-kanak kekayaan sesebuah keluarga itu diukur dengan penilaian berapa banyak kebun buah-buahan yang mereka miliki. Pemilikan kebun durian dianggap sebagai satu prestij. Setiap musim durian dan rambutan yang menjadi, khabarnya tuan punya dusun akan mampu membeli tanah atau kebun baru. Waktu itu harga tanah sangat murah, ada orang jual kebun getah RM150.00 untuk tiga ekar. Menjualnya bertujuan untuk mengkhawinkan anak atau pergi haji. Harga sebegitu pun tak ramai orang yang mampu membelinya dan jalan lain yang digunakan untuk menyelesaikan masalah tersebut ialah mengadaikan tanah tersebut kepada para pemberi pinjam ceti. Sebab itu jugalah rumah-rumah dikampung tersebut semakin berkurangan, kerana para pemilik tanah yang baru yang terdiri dari orang-orang kaya mereka tidak tinggal di kampung sebaliknya kebanyakan mereka tinggal di bandar Batu Pahat.


Disebabkan golongan tani biasanya beranak ramai, kami anak-anak tani yang sebaya yang ramai itu sentiasa meriah walau pun mereka berada dalam kemiskinan. Ada pada suaktu ketika kampung dilanda banjir, tiada ada barang makan sama ada ubi kayu atau keladi, jadi apa yang ayah buat, sewaktu hampir senja, beliau ajak saya ke kebun belakang untuk menebang pisang muda yang belum berisi lagi untuk direbut bagi makanan malam itu. Pisang muda yang direbus dan dicecah dengan sambal cili kering sedapnya masih terasa sehingga sekarang. Disebabkan tiada sebarang pekerjaan yang boleh dilakukan terutama sewaktu musim hujan dan banjir, ini menjadikan penduduk kampung menghabiskan masa dengan mencari ikan sama ada memancing, menyauk, lokan, tuba, timba, menyelok, rawai dan lain-lain .


Sewaktu sekolah, saya tidak memiliki pakaian (unifom) yang khas, pakai apa sahaja yang ada. Tidak kira warna atau saiznya. Masih teringat satu peristiwa dimana sekolah akan didatangi oleh guru pelawat dari bandar Batu Pahat, cikgu suruh saya berpakaian baju putih sewaktu hari lawatan berkenaan, oleh kerana saya suka bersekolah tetapi baju berwarna putih tidak ada lalu saya pakai baju putih ayah yang bersaiz besar, geloboh apabila dimasukkan kedalam seluar (ketika itu seluar pendek) hujung baju menjulur keluar. Masa itu waktu perbarisan menyambut Guru Pelawat, dan guru pelawat tersebut kelihatannya sangat geli hati. Apabila selesai perbarisan (waktu darjah empat) guru kelas mengatakan "kurang asam". Tapi apa boleh buat, maaf itu sahaja yang ada. Sebenarnya dalam hal berpakaian semimangnya tiada dalam perancangan kehidupan keluarga ayah saya. kami adek beradik hanya diberi sepasang baju dan kasut hanya setahun sekali iaitu sewaktu hari raya Adul-adha, kasut itu lah saya buat raya dan kasut itu jugalah untuk saya guna kesekolah iaitu sebeberapa yang tahan. Biasanya kerana jarang-jarang jumpa kasut, pakai kasut pada hari raya tumit kali kerap kali melicit. Jadi kasut dijinjing dan jalan kaki ayam. Sebab itu kasut boleh tahan lama. Tak macam budak-budak sekarang, kasut raya lain,kasut sekolah lain,kasut main lain dan pilih berjenama pula itu. Tuah mereka hidup selepas merdeka.


Waktu itu palajar darjah enam ada peperiksaan penilaian untuk mengukur seseorang murid itu boleh meneruskan persekolahannya ketingkatan satu, mereka yang gagal tidak ada peluang dan yang lulus sahaja yang berpeluang untuk meneruskan persekolahannya ketingkatan satu di Batu Bahat. Saya lulus, tetapi hanya bersekolah habis tingkatan satu, di Sekolah Dato' Bantara Luar Batu Pahat. Berhenti kerana ikut Ibu Bapa pindah ke Simpang Renggam,membuka tanah baru bagi mengubah nasib. Setelah berhenti sekolah, bekerjalah saya di estet Nam Bee dengan upah Rm 1.50 sen sehari. Di sinilah WUJUD KESEDARAN LANGIT bermendung pekat TAK MUNGKIN CERAH. WASSALAM.

2 ulasan:

  1. Sekarang ni bila semua kemudahan sudah ada pun, masih ramai yang tak mahu belajar

    BalasPadam
  2. En Morsin, sy kawan maity & pernah ikuti kelas En Morsin agaknya tahun 2002 atau 2003. Kelas Isu2 semasa. Seronok sungguh kelas tu, tapi mendebarkan haha..

    Seronoknya baca cerita ni, mcm cerita dr buku 'all time fav' saya Detik2 Diri di Daerah Daif - SN Shahnon Ahmad. Sekarang zaman2 tu dah hilang, tak akan jumpa lagi. Saya pun membesar di kg, tapi tak merasalah 'seadventure' zaman ni rasanya. Bila cuti sekolah je, berpakat dengan sepupu2 tidur rumah nyai ramai2. Kalau kopi dan koko memang selalu jadi mangsa bila ronda2 kat kebun. Dah macam musang jadinya hehe. Pungut durian gugur pon seronok. Mandi kolam, berpentas atas salaian kelapa (masa tu salaian kelapalah binaan paling tinggi hehe). Tapi waktu malam bila orang hidupkan api salaian, saya takut sebab bayangkan api bara yang kelip2 celah dinding tu macam mata hantu haha.

    Org hebat mestilah lahir dr pengalaman yg hebat kan? nanti samb cerita lagi, lepas berpindah ke Spg Renggam apa jadi?

    Kg saya pon kat Batu Pahat. Parit Lapis Mahang, Senggarang :)

    BalasPadam